Najib nafi hasut rakyat tolak kerajaan PN

Najib nafi hasut rakyat tolak kerajaan PN

Bekas perdana menteri Najib Razak menepis tuduhan menghasut rakyat dengan tuntutan Barisan Nasional kepada kerajaan supaya membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium pembayaran pinjaman bank.

Beliau mengingatkan bahawa tuntutan itu, syarat BN untuk menyokong Belanjawan 2021, adalah permintaan rata-rata rakyat yang sedang dalam kesusahan.

“Apa yang saya dapat jika kedua-dua syarat ini dilaksanakan kerajaan?” katanya di Facebook.

“Pernahkah saya suruh rakyat untuk tolak kerajaan Perikatan Nasional jika kedua-dua syarat ini tidak dibuat?”

Najib berkata sehingga kini, tiada seorang pun menjawab soalannya bagaimana Belanjawan 2021 “yang cuma 2.5%” lebih tinggi” daripada Belanjawan 2019 mampu menyelamatkan negara.

Sehingga kini juga, katanya, tiada seorang pun menjawab soalannya bagaimana Belanjawan 2021 boleh menyelamatkan ekonomi memandangkan skim moratorium pinjaman, i-Lestari, Program Subsidi Upah, dan bayaran Bantuan Prihatin ditamatkan atau dikurangkan pada tahun depan.

“Jika sesiapa boleh sangkal apa yang saya tulis di atas, barulah ianya adil untuk kamu tuduh saya sedang menghasut atau mempermainkan rakyat,” katanya.

Jangan ingat rakyat bodoh

Menurut Najib, yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, tuntutan BN itu boleh dan pernah dilakukan kerajaan, malah bukan mustahil atau sukar dilakukan.

Beliau mengambil contoh pengeluaran wang daripada akaun KWSP melalui i-Lestari dan moratorium 6 bulan semasa pertama kali perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Tambahan pula, Najib menggariskan bagaimana 2 tuntutan BN itu boleh dilaksanakan tanpa implikasi besar pada kewangan kerajaan dan bagaimana untuk memulihkan simpanan KWSP.

“Sehingga kini, tiada seorang pun yang pernah sangkal langkah-langkah yang saya beri itu tidak boleh dilakukan,” katanya.

Berkenaan pengeluaran caruman KWSP, Najib menyeru pengkritik jangan ingat rakyat ‘bodoh’ atau ‘tidak faham’ akan implikasinya, akan mensia-siakan bantuan itu, atau tidak berazam untuk menggantikannya.

Beliau percaya rakyat akan memikul tanggungjawab untuk menggunakan wang itu secara berhemah dan akan gigih menggantikannya.

“Adakah ianya adil untuk menafikan pelampung kepada keluarga yang sedang lemas hanya sebab ada kebimbangan bahawa segelintir akan salahgunakan untuk beli iPhone 12?” katanya.

“Ini bukan syarat untuk teruskan projek kerajaan bagi kroni saya atau untuk saya.”

Sebelum ini, Najib ketika membahaskan Belanjawan 2021 berkata sokongan ahli Parlimen BN pada bajet itu tertakluk kepada pindaan dibuat.

Syaratnya ialah kerajaan membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP secara “one-off”, dan meluluskan moratorium automatik untuk bayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan.

BN mempunyai 43 ahli Parlimen dan sokongan mereka amat diperlukan perdana menteri untuk Belanjawan 2021 diluluskan memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai majoriti 2 kerusi di Dewan Rakyat.

Sumber: Free Malaysia Today