Najib suruh ‘budak’ Pas beritahu Menteri PN sokong cadangan pengeluaran i-Citra

Najib suruh ‘budak’ Pas beritahu Menteri PN sokong cadangan pengeluaran i-Citra

Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa beberapa menteri daripada Bersatu membantah pengeluaran i-Citra RM10,000 daripada akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Najib berkata, perkara itu telah dibawa dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk dibincangkan, bagaimanapun dibantah beberapa menteri termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Sebab itu, ia tidak berjaya diluluskan oleh Kabinet sebab sokongan kepada PM9 daripada PN adalah bersyarat,” kata Najib di Facebook, sepeeti dilaporkan portal FMT.

Najib mengulas sokongan Ketua Pemuda PN Ahmad Fadli Shaari terhadap pengeluaran i-Citra RM10,000 bagi pencarum yang terjejas.

Fadhli dalam kenyataan hari ini mempersoalkan mengapa Ismail dan Umno masih belum membenarkan pengeluaran itu.

Mengulas lanjut, Najib berkata, Ismail tidak seharusnya dipersalahkan kerana ia merupakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno semasa menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya gembira melihat Ketua Penerangan PN telah mengulang sokongan terhadap pengeluaran terakhir KWSP RM10,000 bagi pencarum hari ini,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memetik kenyataan Bersatu bahawa sokongan kepada Ismail adalah bersyarat kerana lantikan Perdana Menteri dicalonkan PN dan parti itu, bukan dicalonkan Umno.

Najib berkata, Ismail merupakan Perdana Menteri dipilih PN dan Bersatu maka beliau menggesa Ketua Pemuda PN meminta menteri bawah gabungan itu menyokong pengeluaran i-Citra.

“Memandangkan PN telah pun kata sokongan bagi PM9 adalah bersyarat dan dia memang calon PN sebagai Perdana Menteri maka saya harap Ketua Penerangan PN akan suruh menteri-menteri PN yang pernah membantah sebelum ini untuk buat pusingan U dan sokong permintaan i-Citra RM10,000 kali terakhir ini pula,” katanya.