Najib ucap selamat datang kepada Muhyiddin?

Najib ucap selamat datang kepada Muhyiddin?

 

‘Welcome’!. Itu antara respon ringkas pentadbir halaman Facebook Datuk Seri Najib Razak selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak dapat dipastikan ia merujuk kepada siapa tetapi status berkenaan dipercayai dituju kepada Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu selepas dilaporkan akan didakwa di mahkamah pagi ini.

Kemaskini statusnya itu mendapat lebih 28,000 tanda suka setakat malam tadi.

Semalam, Mahiaddin dilihat keluar daripada bangunan SPRM pada jam 8.19 malam, kira-kira selepas lapan jam beliau memberi keterangan sebelum mengadakan sidang media dengan kumpulan pemberita

Untuk rekod, penahanan Ahli Parlimen Pagoh itu dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang bernilai RM232 juta.

Selain Mahiaddin, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga sebelum ini turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabit projek yang sama atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta, pada 21 Februari yang lalu.

Malah, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad turut dihadapkan di mahkamah atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM6.6 juta membabitkan projek Jana Wibawa.