Nak beli kereta baru atau kereta terpakai, mana yang lebih menguntungkan?
MEMBELI kereta adalah keputusan yang besar dari sudut kewangan dan peribadi. Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti keadaan kewangan, keperluan memiliki kereta dan gaya hidup.
Salah satu keputusan paling penting yang perlu dibuat ialah sama ada untuk membeli kereta baharu atau terpakai.
Kedua-dua pilihan ada baik buruknya. Kalau beli kereta baharu, anda dapat menikmati pemanduan dengan teknologi terkini dan jaminan keselamatan yang lebih baik. Tetapi, harganya pula terlalu mahal jika dibandingkan dengan kereta terpakai.
Kereta terpakai pula biasanya jauh lebih murah daripada kereta baharu. Tetapi, teknologinya pula mungkin agak ketinggalan dan sudah banyak bahagian kereta yang haus dan buruk.
Jadi, bagaimana mahu memutuskan sama ada patut beli kereta baharu atau terpakai? Berikut, Relevan senaraikan beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan.
- Keadaan kewangan
Berapa banyak yang anda mampu belanjakan untuk kereta? Sekiranya mempunyai bajet yang terhad, kereta terpakai mungkin menjadi pilihan tepat.
Membeli kereta baharu mungkin dilengkapi dengan kemudahan yang lebih canggih. Tetapi, tepuk dada tanya selera. Adakah kereta baharu ini akan membebankan?
Katakan, anda terpaksa mengurangkan jumlah wang yang disimpan atau perlu kurangkan perbelanjaan terhadap keperluan seperti makanan. Adakah berbaloi anda terpaksa mengikat perut semata-mata untuk membeli kereta baharu yang canggih dan mewah? Renung-renungkan.
- Keperluan
Untuk apa anda memerlukan kereta? Jika memerlukan kereta untuk pengangkutan harian, maka kereta terpakai mungkin pilihan yang baik. Sebaliknya, jika kereta itu mahu digunakan untuk bekerja atau pemanduan perjalanan jauh, lebih baik beli kereta baharu.
- Nilai jualan semula
Agak-agak, berapa harga kereta itu dalam beberapa tahun? Jika anda bercadang untuk menjual kereta itu semula, maka kereta baharu mungkin bukan pelaburan yang baik.
Sekiranya mempunyai perancangan untuk menyimpan kereta itu untuk jangka masa yang lama, belilah kereta baharu. Ia akan menjadi salah satu pelaburan yang baik.
Sebaik sahaja anda telah mempertimbangkan faktor-faktor ini, anda boleh mula mengecilkan pilihan anda.
Jika masih tidak pasti sama ada untuk membeli kereta baharu atau terpakai, dapatkan nasihat pakar kewangan atau pengedar kereta. Mereka boleh membantu menilai keperluan berdasarkan keadaan kewangan anda dan membuat keputusan yang terbaik.
- Lakukan penyelidikan
Sebelum membeli kereta, penting untuk melakukan penyelidikan terlebih dahulu. Ini termasuk membandingkan model, jenama dan harga yang berbeza. Anda juga harus membaca ulasan dan membandingkan nilai jualan semula setiap kereta tersebut.
Kalau anda memutuskan untuk membeli kereta terpakai pula, pastikan membeli daripada penjual kereta terpakai yang dipercayai. Ini akan membantu anda mengelak daripada membeli kereta dengan masalah tersembunyi.
Selain itu, sebelum anda membeli kereta terpakai, seeloknya dapatkan penilaian dan pemeriksaan daripada mekanik. Anda akan lebih jelas dengan keadaan kereta tersebut sama ada berbaloi untuk dibeli atau tidak.
- Dapatkan pra kelulusan untuk pinjaman
Sekiranya sudah mendapat pra-kelulusan untuk pinjaman kereta, anda akan lebih jelas dengan jumlah wang yang mampu dibelanjakan. Secara tidak langsung, ia juga akan membantu anda membuat perbandingan harga dan jenis kereta yang mampu dimiliki.
- Rundingan harga
Apabila anda membeli kereta terpakai, jangan takut untuk tawar-menawar harga dengan penjual kereta. Anda mungkin boleh mendapatkan harga yang lebih rendah. Malu biar bertempat, kalau tidak anda yang rugi.