Nak tahu perincian skim pembiayaan akaun 2 KWSP?

Nak tahu perincian skim pembiayaan akaun 2 KWSP?

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan permohonan kemudahan pembiayaan pinjaman peribadi menerusi simpanan dalam Akaun 2 kepada dua fasa, dengan Fasa 1 bermula 7 April ini.

Dalam kenyataan, KWSP berkata permohonan bagi Fasa 1 dibuka selama setahun untuk ahli berumur 40 tahun ke atas manakala Fasa 2 membabitkan pemohon 40 tahun ke bawah akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan berkenaan tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit bank.

“Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

“Jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun,” menurut KWSP.

Katanya, kadar faedah konvensional atau kadar keuntungan Islamik yang akan dikenakan oleh bank mengambil bahagian bawah program itu adalah antara 4% hingga 5%, lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8% hingga 15%.

Bank yang mengambil bahagian ketika ini ialah MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN). KWSP akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.”

Permohonan pembiayaan peribadi boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian, dengan semakan awal kelayakan boleh dibuat bermula 5 April ini.

KWSP menjelaskan fasiliti sokongan itu menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

“Sekiranya ahli membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun, mengikut pilihan ahli.

“Jika ahli memilih pengeluaran umur 55 tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun.

“Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli,” kata KWSP.

KWSP berkata, ahli boleh membatalkan notis awal pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun dengan memaklumkan kepadanya jika ahli menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.

“Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran pra-persaraan lain daripada KWSP,” katanya.