“Nak tengok sunat ke belum” – Bapa dakwa anak dicabul, seluar ditarik ketika ke tandas di kedai makan
Seorang bapa mendakwa anaknya telah menjadi mangsa serangan seksual seorang pekerja restoran dan telah membuat laporan polis terhadap kejadian yang berlaku di salah sebuah restoran di Semenyih.
Menurut perkongsian lelaki berkenaan di Facebook, perkara tersebut berlaku ketika anaknya pergi ke tandas untuk membuang air semasa mereka sekeluarga sedang menjamu selera di restoran tersebut.
Tambahnya lagi, sekembalinya anaknya dari tandas, dia kelihatan menangis, terus mendiamkan diri dan tidak mahu makan. Namun ketika ditanya apa yang berlaku, dia berdiam.
Namun, sesudah mereka menaiki kereta, barulah kanak-kanak itu ‘membuka cerita’ dan ketika itu dia memberitahu salah seorang pekerja di restoran makanan barat di Semenyih itu telah menarik seluarnya.
“Nak tengok dah sunat ke belum”
Menurut anaknya, pekerja itu mengajukan soalan sama ada dia sudah bersunat atau tidak dan perkara tersebut telah membuatkan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut terkejut dan berpatah balik ke kedai itu.
Tambah bapa kanak-kanak tersebut, selepas bersemuka dengan pelaku, dia kelihatan seolah-olah tidak melakukan kesalahan.
Pun begitu, pemilik restoran berkenaan turut berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak terbabit dan memohon maaf atas perkara yang berlaku.
Menurut bapa mangsa, pada awalnya dia tidak mahu membuat laporan polis kerana tidak ingin mengganggu ‘periuk nasi’ pelaku, tetapi selepas berfikir panjang dan tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada orang lain, mereka terus membuat laporan polis.
Menerusi ruangan komen di Facebook, ramai yang bersetuju dengan tindakan bapa berkenaan untuk membuat laporan kerana ini dianggap sebagai gangguan seksual.
Dalam masa yang sama, pemilik restoran berkenaan juga telah meninggalkan komen kepada bapa kanak-kanak tersebut dengan permohonan maaf dan turut mengumumkan yang pekerja tersebut telah dibuang serta merta.