Namewee bebas, tunggu tindakan pendakwaraya

Namewee bebas, tunggu tindakan pendakwaraya

Penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi, Namewee dilepaskan selepas menyerah diri dan memberi keterangan kepada polis hari ini.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, beliau memberi kerjasama penuh kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada polis kerana tidak menahan saya.

“Langkah seterusnya ialah melihat sama ada pendakwa raya akan menyaman saya. Mari harapkan yang terbaik,” tulisnya dalam catatan di Facebook.

Beliau berkata, lokap ialah tempat menahan penjenayah serius dan mereka yang melarikan diri.

“Saya dikehendaki polis sebanyak tiga kali dan semuanya saya pulang ke tanah air secara sukarela. Terima kasih kerana nampak keikhlasan saya. Saya tidak perlu lari kerana tidak melakukan kesalahan.”

Susulan itu, beliau beranggapan masih ada harapan untuk kebebasan berkarya supaya filem tempatan boleh bersaing di pentas antarabangsa.

Namewee ke Taiwan Julai tahun lalu dan menghadiri sebuah upacara anugerah muzik, di mana dia dicalonkan untuk anugerah lagu tahunan.

Beliau pulang ke tanah air pada 14 Mac lalu dan menyerah diri kepada polis hari ini selepas menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Sebelum ini, Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mohammad Azwan Azmi membuat laporan polis terhadap Namewee berhubung poster filem berkenaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum.

Katanya, laporan polis dibuat kerana poster filem itu mengandungi perkataan “Melayu Bodoh”, “India Keling” dan “Cina Babi”.

Namewee dilaporkan berkata, beliau tidak akan menayangkan filem itu di Malaysia kerana “terlalu ramai ekstremis yang tak tahu malu” di negara ini.

Katanya, beliau juga tidak akan memohon mana-mana badan atau pertubuhan di Malaysia menayangkan filem yang mendapat pengiktirafan di luar negara itu. – FMT