“Nasib baikla alamat ada walaupun dalam hutan, kalau tak mau demam” – Adik Grab sanggup redah hutan hantar pesanan demi abang askar
Kesungguhan seorang penghantar makanan (rider) memenuhi permintaan pelanggan dipuji apabila sanggup meredah kegelapan malam untuk menghantar pesanan.
Menariknya, bukan sahaja terpaksa menghantar makanan pada waktu malam, malah lokasinya juga agak terpencil berdekatan kawasan hutan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, kisah tersebut dikongsi oleh seorang rider yang menghantar makanan kepada sekumpulan askar yang sedang melakukan latihan di sebuah kawasan hutan.
Bagaimanapun, menerusi klip video berdurasi 12 saat itu, tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar kejadian tersebut
Berdasarkan klip video itu, kelihatan seorang rider Grab telah menghantar pesanan di sebuah kawasan semak dalam kegelapan malam.
Kemudian, muncul dua orang lelaki berpakaian separuh celoreng untuk mendapatkan pesanan tersebut.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna memuji tindakan rider tersebut yang sanggup meredah kegelapan malam sehinggga ke kawasan hutan semata-mata memenuhi permintaan pelanggan.
“Senang abang askar sekarang.. order je walaupun duduk hutan,” tulis Nathirah Muhaini.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Siti Fatimah.
“Nasib baiklah alamat ada walaupun dalam hutan, kalau tak mau demam adik Grab. Apa-apa pun servis adik Grab terbaik, jiwa kental walaupun seram,” katanya.