Nasib pekerja bank terabai, NUBE kecewa BNM dan MOF lepas tangan
Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE) bimbang berhubung laporan bahawa hampir 600 cawangan bank dijangka tutup dalam tempoh 10 tahun hasil kajian firma perunding terkemuka, Ronald Berger.
Setiausaha agungnya, J Solomon, menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) tampil membela pekerja bank yang bakal terjejas dengan penutupan cawangan dan khidmat perbankan runcit.
“Ribuan pekerja bank, sebilangan besarnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) khuatir akan kehilangan mata pencarian jika berlaku penutupan itu.
“Kementerian dan BNM mesti mewajibkan bank menyediakan program latihan semula untuk meningkatkan kemahiran pekerja agar mereka terus relevan kepada keperluan bank dan mempunyai masa depan,” katanya kepada FMT.
Menurut laporan Berita Harian, kajian terkini firma perunding itu menyebut hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia jangka ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut kajian bertajuk “Branching out: The future of retail banking networks”, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.
“Kami menjangka 18% atau lebih 11,000 cawangan bank ditutup di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Penutupan cawangan perbankan runcit ini dijangka berlaku di enam pasaran, termasuk Malaysia,” kata kajian itu.
Dalam pada itu Solomon berkata, NUBE berulang kali menegaskan tidak menolak perbankan digital, perkhidmatan dalam talian atau kecenderungan kerajaan menggalakkan “perbankan fintech”.
Bagaimanapun katanya, kerajaan dan bank harus memastikan pekerja tidak menjadi mangsa susulan peralihan itu.
“Penutupan ketara perkhidmatan perbankan runcit atau penutupan terus cawagan bank sudah pun berlaku di Malaysia dan dibiarkan begitu sahaja oleh BNM dan kementerian tanpa memastikan kebajikan dan masa depan pekerja terlibat.
“BNM dan Kementerian Kewangan mempunyai tanggungjawab memastikan bank terbabit menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan pekerja secara tersusun supaya pekerjaan mereka terjamin dalam hala tuju baru bank.
“Amat dikesali ini tidak dilakukan,” katanya.
Solomon berkata, NUBE menerima aduan bahawa bank multinasional tertentu menindas pekerja dengan skala gaji rendah dan jawatan mereka dimansuhkan atas alasan bank mahu memberi tumpuan kepada perbankan digital dan penyumberan luar.
Katanya, kadang-kadang bank menggunakan alasan Covid-19 dengan pekerja berkenaan bekerja dari rumah. “Namun tidak ada tugas diberikan dan merupakan ‘persediaan awal’ bank untuk membuang mereka,” katanya. – FMT