Nazri anggap tindakan Takiyuddin tepat selepas mendapat nasihat Peguam Negara
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan berhubung pembatalan enam Ordinan Darurat yang dibuat pada 21 Julai lalu.
Nazri menegaskan apa yang diumumkan oleh Takiyuddin itu setelah mendapat nasihat dari Pejabat Peguam Negara yang memahami Perlembagaan Negara.
Beliau menjelaskan perkara tersebut tidak perlu dibahaskan kerana kerajaan tidak mahu melanjutkan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos nanti.
“Sebagai bekas Menteri Undang-undang, apa yang diumum oleh Takiyuddin itu merupakan perkara yang dibuat dan dinasihatkan oleh Pejabat Peguam Negara yang lebih arif tentang Perlembagaan.
“Perkara ini tidak perlu dibahaskan di parlimen kerana kerajaan tidak lagi berhasrat untuk melanjutkan darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos nanti.
“Yang diumumkan ialah keputusan kabinet pada 21 Julai, namun penguatkuasaannya pada 1 Ogos nanti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas kenyataan sesetegah pihak yang mendakwa menteri-menteri dari UMNO yang tidak memaklumkan perkara tersebut kepada parti, Nazri menegaskan menteri terikat dengan sumpah menyimpan rahsia.
“Orang yang bercakap perkara ini sepatutnya faham, menteri-menteri terikat dengan sumpah kerahsiaan, jadi bukan satu kesalahan tidak memberitahu parti,” katanya lagi.
Sebelum itu, Takiyuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos depan.
Takiyuddin juga memaklumkan kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan enam Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.
Sumber – Astro AWANI