Nazri Aziz anggap pengislaman sepihak sebagai tidak adil

Nazri Aziz anggap pengislaman sepihak sebagai tidak adil

Nazri Aziz menyifatkan perbuatan pengislaman anak secara unilateral sebagai tidak adil, malah bukan sesuatu yang membanggakan.

Ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Padang Rengas itu memetik kes melibatkan Loh Siew Hong dan M Indira Gandhi, iaitu dua ibu yang anak mereka diislamkan tanpa izin mereka.

“Eh, saya sebagai orang Islam tidak bangga dengan perkara seperti ini. Pada saya Islam mahukan keadilan dan memang tidak adil sekiranya seorang daripada ibu dan bapa menukar agama anak mereka yang sudahpun ada agama. Menukar agama tanpa persetujuan itu tidak adil,” kata bekas Menteri Undang-undang itu seperti dilaporkan portal FMT.

“Kalau kita tidak suka ketidakadilan, kita tidak mahu ketidakadilan, jangan buat pada orang lain. Jangan lakukan pada orang perkara yang kita tidak mahu dibuat terhadap diri sendiri.”

Kes Loh mencetuskan semula debat berhubung isu itu, walaupun Mahkamah Persekutuan pada 2018 memutuskan dalam kes Indira bahawa penukaran agama anak memerlukan persetujuan kedua-dua ibu dan bapa.

Segelintir pihak seperti Mufti Perlis Asri Zainul Abidin yang dilihat mempertahankan kesahihan pengislaman tiga anak Loh itu, menghujahkan bahawa undang-undang negeri membenarkan pertukaran agama secara unilateral.

Nazri turut menegaskan tidak patut ada paksaan mana-mana pihak untuk mengislamkan sesiapa.

Asri bulan lalu mengesahkan jabatan agama negeri itu telah mendaftarkan tiga anak Loh sebagai beragama Islam atas permintaan bapa mereka tiga tahun lalu. Perkara itu dikecam kumpulan kebebasan awam dan badan keagamaan.

Asri berkata pengislaman anak Loh sah mengikut undang-undang Perlis berdasarkan enakmen negeri pada 2016 bahawa sama ada ibu, bapa atau penjaga boleh mengislamkan kanak-kanak bawah umur.

Bagaimanapun, Nazri menegaskan Perlembagaan Persekutuan menyatakan “ibu bapa atau penjaga” bererti kedua-dua ibu bapa atau penjaga, seterusnya beliau tidak bersetuju dengan apa disifatkannya sebagai pengislaman secara paksa tiga anak Loh berkenaan.

Tegasnya, Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam sebagai agama persekutuan, bererti orang Muslim mempunyai tanggungjawab untuk memastikan hak dan kepentingan golongan minoriti terpelihara, bukannya “menindas golongan minoriti”.

Menurutnya, golongan bukan Islam akan hidup dalam ketakutan kerana apabila berlaku pergaduhan antara suami isteri perkara itu boleh disalahgunakan.

“Ada empat, lima kes suami isteri bukan Islam bergaduh maka suami bertukar agama (dan) tukar agama anak sekali. Itu tidak adil dan kita tidak memelihara kepentingan minoriti. Sebab itu saya tidak bersetuju.”