Nazri nekad teruskan kesinambungan perkhidmatan terbaik yang telah diberikan Allahyarham Salahuddin Ayub

Nazri nekad teruskan kesinambungan perkhidmatan terbaik yang telah diberikan Allahyarham Salahuddin Ayub

 

PERANAN Kerajaan Perpaduan ketika ini amat penting dalam membentuk sebuah negara yang maju dan sejahtera termasuk di Johor yang kini mengalami kepesatan pembangunan luar biasa.

Calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman nekad untuk meneruskan kesinambungan perkhidmatan terbaik yang telah diberikan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, ZULHISHAM ISAHAK bersama Nazri yang turut menyentuh beberapa perkara yang akan dilaksanakannya jika memenangi PRK di DUN itu.

Sinar Harian: Bagaimana tuan melihat keserasian dan kemajuan Kerajaan Perpaduan selepas kira-kira sembilan bulan bersama.

Nazri: Kerajaan Perpaduan gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merupakan satu gabungan yang baik. Kita lihat bila gabungan antara dua entiti besar ini, maka kerajaan sedia ada ini semestinya lebih stabil. Pastinya pelabur-pelabur luar lebih yakin dengan kepimpinan negara dan seterusnya melonjak ekonomi.

Apa manfaat yang diperoleh rakyat dengan gabungan ini?

Pastinya lah bila kita lihat kerajaan stabil, pelabur-pelabur lebih yakin kepada kita dan tentunya mereka akan buat pelaburan. Sejak mutakhir ini, banyak syarikat besar datang berhijrah dan melabur dan sudah pasti ini beri peluang kepada rakyat Malaysia terutama anak-anak muda yang baru keluar universiti mendapat pekerjaan.

Apakah visi dan misi tuan jika terpilih pada 9 September ini?

Kerajaan negeri pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi pun dah ada dia punya manifesto, visi dan misi. Saya akan sambung apa juga visi dan misi di peringkat nasional, cuma di kawasan DUN ini, Allahyarham (Salahuddin) beri pendekatan beberapa perkara iaitu santuni Rahmah. Program ini lebih kepada memastikan masyarakat diberi perkhidmatan yang baik. Contohnya, perkhidmatan kepada golongan M40 dan B40 melibatkan bantuan makanan, begitu juga pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan daripada segi peralatan kesihatan contohnya katil, kerusi dan sebagainya.

Apa perancangan khusus untuk anak-anak muda di DUN Simpang Jeram?

Saya akan menambahbaik keperluan anak-anak muda dalam kemudahan riadah dan sukan selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka. Muar adalah pengeluar perabot yang terbesar di Malaysia dan para pengusaha memerlukan anak muda untuk terlibat dalam industri perabot. Persediaan telah dibuat oleh Institut Kemahiran Beliau Negara (IKBN), Mara (Majlis amanah Rakyat) untuk melatih anak-anak muda terlibat dalam industri ini dan Insya-ALLAH, usaha ini dapat dilaksana secepat mungkin.

Apa masalah rakyat Simpang Jeram yang perlu ditangani segera?

Berapa tempat ada hotspot banjir kilat. Contohnya, di kawasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Taman Temiang Jaya, Taman Seri Mulia dan Parit Setongkat berlaku banjir kilat. Setakat ini, kawasan tersebut sedang dibuat kajian oleh UTHM (Universiti Tun Hussein Onn) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran). Saya difahamkan dalam masa terdekat ini akan ada penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah ini.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen, bagaimana tuan melihat sambutan setakat ini?

Tinggal dua hari sahaja untuk tarikh 9 September ini dan setakat ini komitmen pihak PH sendiri dan dalam gabungan seperti DAP, PKR (Parti Keadilan Rakyat) memang agak tinggi, begitu juga bagi pihak BN, komitmen mereka amat tinggi. Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Johor kerana beri komitmen hampir 100 peratus. Saya percaya dan yakin dengan komitmen diberikan serta dengan sokongan rakyat.

Maklum balas pengundi adakah positif?

Reaksi setakat ini memang positif. Lihat reaksi penduduk khususnya kaum Tionghua memang tinggi kesedaran untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan. Tidak lupa juga penyokong-penyokong BN, kita ada satu gabungan Kerajaan Perpaduan, mereka pun beri komitmen yang baik termasuk kepimpinan negeri dan pusat. Mudah-mudahan dan saya percaya calon PH akan dipilih.

Apakah nasihat dan saranan kepada para pengundi?

Saya menyeru pengundi-pengundi balik beramai-ramai pada 9 September ini untuk tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Ini peluang mereka untuk memastikan Kerajaan Perpaduan ini dapat meneruskan legasinya demi kemakmuran Muar khususnya di Simpang Jeram. Bagi anak perantau yang bekerja di Singapura, Kuala Lumpur, Perak dan lain-lain dapat balik juga.

Reaksi rakyat:

“Calon PH dan BN merupakan anak tempatan, orang yang ada pengalaman di MPM (Majlis Perbandaran Muar) dan tahu selok belok dan keluh kesah orang di sini.” – Onn Mahathir Md Nasir, 30 tahun.

“Beliau merupakan calon terbaik dengan mempunyai kelulusan dan berwibawa. Pastinya akan berikan masa depan yang baik untuk Simpang Jeram.”- Hafiz Md Nor, 33 tahun.

“Nazri adalah calon paling layak mengambil alih tugas (wakil rakyat) di Simpang Jeram.” – Husni Balis, 57 tahun.

Biodata Calon DUN Simpang Jeram:

Nama: Nazri Abdul Rahman

Parti: Pakatan Harapan (PH)

Asal: Batu 3, Bakri, Muar, Johor

Status: Berkahwin

Pendidikan: Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)

Jawatan: Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Bakri, Ketua Biro Ekonomi Pusat Khidmat DUN Simpang Jeram