Neelofa dan suami akan dipanggil beri keterangan
Selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dalam masa terdekat berkaitan penularan video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihak polis telah menjalankan siasatan berhubung penularan video yang mengaitkan artis tersebut selepas dipercayai berada di sebuah premis perniagaan karpet di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat sini semalam.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai siasatan.
“Polis menasihati orang ramai mematuhi PKPB. Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Spekulasi berkaitan video pelanggaran SOP PKPB itu tular di media sosial apabila Neelofa bersama suaminya dikatakan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, semalam. – FMT