Netizen kecam Ustaz Ahmad Dusuki minta derma nak baiki kereta
Seorang ustaz dari PAS mendapat kritikan setelah meminta derma dari orang ramai untuk membaiki kereta syarikatnya yang terlibat dalam kemalangan.
Melalui hantaran di Instagram, kereta yang dimiliki oleh pasukan media Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani
Dilaporkan terlibat dalam kemalangan dan memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 untuk kos pembaikan.
Dalam hantaran tersebut, Ahmad Dusuki menyatakan bahawa dia memerlukan sumbangan dari 1,000 penderma dengan jumlah sekurang-kurangnya RM5 setiap orang.
“Pencarian 1,000 orang penyumbang yang bermurah hati ingin menyumbang RM5 bagi kos pembaikian kereta media UAD (Ustaz Ahmad Dusuki).
“Kemalangan yang melibatkan kereta ini pada akhir September lepas agak parah apabila melibatkan bahagian depan dan belakang kereta.
“Kini kami menggunakan kenderaan pihak lain yang juga perlu dibayar kos sewanya. Kami dimaklumkan oleh pihak bengkel bahawa kos yang diperlukan sekitar RM3,000 hingga RM5,000 untuk membaiki seluruh kerosakan,” katanya.
Ahmad Dusuki menyatakan bahawa mereka tidak dapat membuat tuntutan insurans disebabkan beberapa masalah teknikal. Beliau kemudian merayu kepada sesiapa yang sudi menyumbang untuk membantu membaiki pengangkutan media UAD, serta menyertakan dua akaun bank untuk tujuan derma.
Walau bagaimanapun, majoriti netizen mengkritik tindakan penceramah tersebut yang dianggap terlalu mudah menagih wang dari orang ramai. PAS sendiri terkenal dengan jolokan ‘tin milo’ kerana sering meminta derma untuk membiayai aktiviti parti mereka.
Justeru, tindakan Ahmad Dusuki meminta derma untuk membaiki kereta turut tidak disenangi oleh pengguna media sosial.
“Perbezaan bila ditimpa musibah. Orang susah, usahakan dapat duit. Ustaz (pula) minta orang,” komen seorang netizen.
“Ustaz, kereta saya pun tengah rosak. Boleh kutipkan derma untuk saya?” sindir pengguna lain.
“Tak dapat tuntut dengan insurans sebab beberapa masalah teknikal? Mengaku je lah insurans pun tak ada. Senang je nak kutip derma,” komen pengguna lain menunjukkan kekecewaan terhadap tindakan tersebut.