Netizen komen kecam JKR, susulan permohonan maaf kepada menteri

Netizen komen kecam JKR, susulan permohonan maaf kepada menteri

JABATAN Kerja Raya (JKR) Kuala Langat mohon maaf kepada Khairy Jamaluddin susulan kemalangan yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu pada Ahad.

Jabatan tersebut dalam kenyataan di Twitter memaklumkan akan mengambil tindakan segera susulan kemalangan dipercayai disebabkan jalan berlubang di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

“JKR Kuala Langat memohon maaf ke atas kejadian yang menimpa Yang Berhormat Menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan,” kata JKR Kuala Langat.

Dalam status yang sama, jabatan tersebut turut mendoakan Ahli Parlimen Rembau itu agar cepat sembuh.

Status tersebut menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya yang turut menyuarakan keadaan jalan raya di situ.

Terdapat juga beberapa warga maya yang menyuarakan tidak puas hati terhadap reaksi JKR Kuala Langat itu.

Khairy pada Ahad memuat naik hantaran di akaun Instagram peribadinya yang mengalami kecederaan akibat kemalangan selepas basikal yang ditunggangnya melanggar lubang di atas jalan menyebabkan beliau terhumban ke dalam parit.

Khairy dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital berdekatan.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jkr-kuala-langat-mohon-maaf-kepada-khairy-susulan-kemalangan-netizen-komen-sinis-274984?fbclid=IwAR1FsEdC8XCjSbSoR3mpsKSqth5XZTycrBbUlgtvW4fuW1RoQBayPHWQMHA