Ngeri! Wanita ini terkunyah ubat stapler ketika makan nasi kerabu
Saban hari semakin banyak kes terjumpa benda pelik dalam makanan yang dibeli, kali ini ada dawai kokot stapler pula dalam nasi kerabu.
Kalau satu itu mungkinlah kesilapan atau kecuaian tapi kalau dah sampai 10 dawai kokot, ini adalah sesuatu yang boleh membahayakan pelanggan jika tertelan.
Seorang wanita memuat naik gambar di dalam group Warga Kuantan Official mengenai nasi kerabu yang dibeli menerusi aplikasi penghantaran makanan, GrabFood.
Dia menemui bukan satu tapi 10 dawai kokot dalam nasi yang dimakannya itu.
“Jumpa ni (dawai kokot) masa tengah makan tadi, tengah mengunyah ingatkan tulang ke apa.
“Terus lapor dekat GrabFood dan pada masa itu juga pihak Grab hubungi untuk penjelasan lanjut.
“Ingat hanya ada satu sahaja, teruskan pencarian dan jumpa 10 dawai kokot stapler yang dikenalpasti,” tulisnya pada hantaran tersebut.
Seorang pengguna Facebook, Danieal Bean mengkritik peniaga yang tidak pergi kursus mengendalikan makanan kerana akhirnya situasi sebegini berlaku.
“Nak meniaga makanan tapi tak mahu pergi kursus. Bila orang marah mula bagi alasan ‘sama-sama Melayu pun nak tular’.
“Kalau tak masuk perut bolehlah, dah masuk perut kau nak minta maaf memang aku suruh kau makan balik stapler tu.
“Orang Islam sepatutnya tak ada masalah bab kebersihan, aduh berat nanang (betul) orang zaman sekarang,” ujarnya.
Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa penggunaan bahan seperti paku dan dawai kokot untuk membungkus makanan boleh menyebabkan kecederaan serius jika termasuk dalam makanan dan ditelan.
Melalui Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, katanya, pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan bebas daripada pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.