NGO kesal kelulusan penggondolan dan penanaman durian Musang King di Gunung Inas

NGO kesal kelulusan penggondolan dan penanaman durian Musang King di Gunung Inas
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan laporan yang mendedahkan mengenai kelulusan penggondolan dan penanaman durian di Gunung Inas, di daerah Baling yang telah menjejas kualiti kehidupan hampir 3,000 warga penduduk tempatan.Dari awal lagi gunung itu sepatutnya tidak dieksploitasi. Kini akibat penggondolan yang tidak dipantau oleh jabatan yang berkenaan, kesan banjir dan kerosakan ke atas sungai telah ditanggung oleh penduduk sekitarnya yang sangat teruk terutama banjir dan air bersih tercemar.

Daripada penjelasan yang diberi oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, nampaknya pelbagai agensi penguatkuasa yang memberi arahan dan syarat kepada syarikat pemaju ladang itu tidak dipantau.

Dakwaan sebagai ladang durian Musang King terbesar di dunia seluas 30,000 ekar (12,140 hektar)  oleh pihak yang berkenaan tular melalui video walaupun dikatakan ia video lama.

Namun kesan negatif akibat kerja tanah untuk pembangunan ladang durian di Gunung Inas itu sedang dirasai sekarang dan kesannya parah.

Menteri besar Kedah mengatakan arahan sudah dikeluarkan supaya kerja menanam pokok durian dihentikan. Akan tetapi arahan awal supaya pihak pemilik ladang itu menanam pokok liputan tanah dan pokok balak tidak dipantau supaya dipatuhi.

Laporan yang mengatakan pada Disember 2019, pemilik telah mendapat kelulusan EIA dan Jabatan Perhutanan Negeri pada 2013 amat pelik sebab masyarakat awam tidak dimaklumkan mengenai kelulusan projek tersebut.

Untuk makluman,  banjir yang serius telah berlaku di Kupang pada 2019, namun siasatan yang dikatakan akan dijalankan akibat penggondolan di kawasan bukit tidak dimaklumkan kembali kepada awam.

Kami mempersoalkan pada 2014 bila kerajaan ketika itu melaksanakan projek Ladang Rakyat dengan penanaman getah seluas 400 hektar di tanah itu, kenapa tanah selebihnya tidak diambil semula oleh kerajaan negeri supaya ia disekat dari ditanam dengan tanaman selain daripada pokok hutan.

Tanah itu yang bertukar tangan bila berubah kerajaan tidak harus menjadi alasan untuk pihak berkuasa tidak bertindak bila pemaju gagal mematuhi syarat dalam perjanjian antara kerajaan negeri dengan syarikat pemaju.

Kegagalan menanam pokok hutan sebagai ganti kepada hutan yang dilulus untuk dibalak adalah kegagalan di pihak penguatkuasa sendiri.

Kami ingin mengingatkan bahawa kerosakan alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup penduduk tempatan tidak boleh dipandang ringan.

Undang-undang mesti dipatuhi dan penguatkuasaannya tidak boleh diabaikan.

Kerosakan ke atas sungai, mendapan dan kemusnahan kawasan tadahan air sukar dipulihkan. Pihak berkuasa masih tidak menerima hakikat bahawa keseimbangan ekologi adalah sangat penting dipelihara dan ia juga sangat sensitif.

Membalak, menanam pokok yang lain, dan menggondolkan gunung dan bukit bakal mengundang kerosakan pelbagai aspek alam sekitar dan akhirnya memberi impak kepada penduduk di persekitaran sekali gus penduduk di luar kawasan.

Kami menggesa kerajaan negeri Kedah mendedahkan siasatan ke atas kelulusan ladang tersebut. Rakyat berhak tahu apakah punca tanah itu kini telah berada dalam tangan pihak pemaju yang menjalankan projek yang melanggar perjanjian.

Kerajaan Kedah perlu menyiasat kemungkinan berlaku kemusnahan harta benda penduduk di daerah Baling sebelum ini akibat banjir lumpur yang melanda kediaman mereka dan ganti rugi harus dibayar oleh pihak yang terlibat jika terbukti puncanya adalah dari penerokaan kawasan hutan di Gunung Inas.

Kami telah berulang kali menegaskan bahawa hutan berperanan penting untuk kestabilan ekologi dan kualiti alam sekitar untuk kepentingan penduduk di negara ini.

Hutan dan bukit adalah aset yang tiada nilainya untuk memelihara kualiti hidup rakyat. Nilai ekonomi dari hutan seperti di Gunung Inas tidak boleh diganti dengan ladang durian.

Kerajaan negeri harus elak dari keghairahan tiba-tiba kepada durian Musang King untuk keuntungan komersial jangka pendek tetapi akhirnya berdepan kerugian jangka panjang seperti perusahaan burung walit dan ikan arowana yang menjejaskan persekitaran tempatan.

Kami menggesa kerajaan negeri lebih serius terhadap kesan aktiviti pembalakan,  pemusnahan bukit berskala besar dan semua projek yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar. – 8 Februari, 2021. – TMI

 * Mohideen Abdul Kader, presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Negara Merdeka.