Ngo MAPIM bidas tindakan terdesak kerajaan ugut rakyat tolak divaksin

Ngo MAPIM bidas tindakan terdesak kerajaan ugut rakyat tolak divaksin

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyelar kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yanag mahu ‘menyusahkan’ mereka yang tidak mahu divaksin.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan seperti itu dilihat tidak profesional dan ada sentimen berprasangka terhadap rakyat.

“Kenyataan kerajaan akan menyusahkan kehidupan bagi mereka yang tidak mahu divaksinasi tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang menteri.

“Mempolitik dan mensenjatakan vaksinasi harus dielakkan,” katanya dalam satu kentayaan hari ini.

Mohd Azmi berkata, kerajaan harus mempertingkatkan kempen dan turun ke padang bertemu rakyat dengan maklumat yang meyakinkan mengenai vaksin.

“Tidak perlu mensensasikan isu vaksin dengan mengugut akan menyusahkan hidup rakyat. Kami kesal kenyataan menteri kesihatan yang mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menyusahkan hidup rakyat yang tidak mahu divaksinasi.

“Ini adalah kenyataan tidak bijak , angkuh dan tidak melambangkan kematangan,” katanya.

Beliau berkata, sudah pasti mereka yang tidak divaksinasi mempunyai sebab dan bukan hanya terbatas di negara ini tetapi juga di kebanyakan negara lain.

“Ada cara yang lebih bijak untuk memujuk dan mendidik rakyat. Tidak perlu mengeluarkan kata-kata ugut dan kasar seolah-olah beliau tahu semua perkara mengenai vaksin Covid-19.

“Mengenakan diskriminasi dan menekan rakyat dengan cara ini tidak memberi kebaikan dalam jangka panjang kerana kerajaan dilihat mengguna ugutan untuk menangani krisis kesihatan ini.

“Isu vaksin ini bukan satu satunya cara untuk mengekang pandemik Covid-19 . Walaupun ia dikatakan langkah penting tetapi tidak harus mengguna pendekatan mengugut,” tambahnya.

Mohd Azmi menambah, kenyaataan seumpama itu dilihat boleh menimbulkan keraguan serta implikasi diskriminasi dan pelanggaran hak manusia dengan cara melayani seseorang divaksin dan mereka yang tidak divaksin.

“Membataskan pergerakan dan peluang pekerjaan kepada mereka yang enggan divaksinasi perlu dikaji daripada sudut undang-undang.

“Walau apa pun keputusan kerajaan terhadap mereka yang menolak vaksin ini, perlu mencari titik kesimbangan antara hak dan tanggunjawab awam dari sudut undang-undang.
Baru-baru ini, Khairy Jamaluddin

memberitahu, Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan anti-vaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.

Beliau berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

Sumber – MalaysiaGazette