NGO pro LGBTQ kecam Ops Cegah Pondan di Ipoh

NGO pro LGBTQ kecam Ops Cegah Pondan di Ipoh

 

Justice for Sisters (JSF) mengecam penahanan lima individu transeksual di Ipoh, Perak, di bawah undang-undang syariah ketika serbuan yang dinamakan sebagai “Op Cegah Pondan” baru-baru ini.

“Nama operasi itu amat biadab, merendahkan dan mencerminkan prasangka dan salah faham yang mendalam mengenai identiti gender,” kata pengasas bersama JSF, Thilaga Sulatireh.

Thilaga berkata golongan transgender sepatutnya tidak didakwa, dihalang atau dikenakan hukuman dengan merujuk kepada banyak bukti saintifik mengenai seksualiti mereka.

“Apabila negara bukan sahaja menyasarkan tetapi cuba ‘membendung’ kumpulan berdasarkan identiti mereka, itu menjadi punca kebimbangan yang serius,” tambahnya.

JFS, yang merupakan penyokong hak LGBTQ, berkata serbuan itu juga mencerminkan sikap tidak menghiraukan hak asasi manusia dan maruah diri.

Menurut Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), lima transgender warga Thailand ditahan dalam operasi yang menyasarkan rumah urut di ibu negeri itu baru-baru ini.

JAIPk berkata Seksyen 55 Enakmen Undang-Undang Syariah Perak menyatakan bahawa lelaki yang berpakaian serta berkelakuan seperti wanita di tempat awam untuk tujuan “maksiat” boleh didenda RM1,000, penjara enam bulan atau kedua-duanya. .

Menurut laporan Astro Awani, menerusi gambar yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIPk jelas kelihatan ada yang lari bertempiaran ketika didekati anggota penguat kuasa.

Media menguatkan prasangka

Sementara itu, JFS berkata jabatan agama Islam harus berpegang teguh dengan prinsip keamanan, maruah diri, hormat-menghormati, kesejahteraan dan keterangkuman.

“Sebaliknya, semua yang dilihat oleh orang ramai adalah gangguan dan salah guna berterusan.

“Seterusnya, operasi ini, dan sikap Jabatan agama Islam, menekankan perbezaan ketara dalam cara identiti gender diperlakukan merentasi sempadan geografi.

“Ketika Thailand mencapai kemajuan ketara ke arah dasar inklusif, transgender di Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan mereka, terus disasarkan secara tidak adil dan dipinggirkan secara sistematik oleh undang-undang negara,” tambahnya.

JSF juga mengecam media berhubung laporan mengenai insiden itu yang menguatkan prasangka dan memperkukuh stereotaip terhadap transgender.

“Sehingga 8 Dis, sebanyak 10 penerbitan (lapan bahasa Malaysia, dua bahasa Inggeris) menerbitkan atau menerbitkan semula berita itu, selain dua platform media sosial.

“Kami menggesa media supaya tidak menormalkan penggunaan bahasa yang menghina terhadap transgender, yang hanya berfungsi untuk terus meminggirkan dan merendahkan mereka,” kata Thilaga.

JSF juga menyeru agar serbuan dan aktiviti yang menjenayahkan dan tidak berperikemanusiaan terhadap transgender dihentikan orang ramai.

“Kami pertahankan bahawa penghormatan dan pemahaman identiti jantina adalah penting untuk masyarakat yang benar-benar inklusif dan adil, dan menggesa media mengambil tanggungjawab tegas dalam penggunaan bahasa dan amalan diskriminasi,” tambahnya.