Niat baik bersolidariti bersama Pal3stin bertukar sebaliknya, 13 dikompaun langgar SOP PKP

Niat baik bersolidariti bersama Pal3stin bertukar sebaliknya, 13 dikompaun langgar SOP PKP

Tiga belas individu yang berkumpul di sebuah rumah di Gurun untuk makan malam dan membincangkan situasi di Timur Tengah dikompaun RM52,000 kerana melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sekumpulan rakan berusia 27 hingga 45 tahun itu masing-masing dikompaun RM4,000 oleh polis dalam pemeriksaan pematuhan PKP di Kampung Jeniang pada 10.30 malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, 13 individu berkenaan, termasuk tiga wanita, berada di ruang tamu untuk makan malam dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Beliau berkata, anggota polis dimaklumkan individu tersebut berkumpul untuk menaikkan bendera Palestin bagi menunjukkan solidariti terhadap penduduk di sana ketika Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza.

Adzli berkata, polis kemudian mengesahkan dakwaan mereka, tetapi tidak menemui sebarang bendera berdekatan.

“Apa pun alasannya, mereka melakukan kesalahan kerana berkumpul beramai-ramai,” kata beliau kepada FMT.

Mereka yang ditangkap difahamkan tinggal di daerah berbeza di Kedah, dengan salah seorang dari Pulau Pinang.

Individu yang dikompaun itu mempunyai 14 hari untuk membayarnya di pejabat kesihatan daerah.

Kesalahan berkenaan dilakukan di bawah Peraturan 9, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, iaitu menganjurkan acara sosial, salah satu aktiviti dilarang ketika PKP. – FMT