‘No Anwar’ ‘No DAP’, Pas yakin MP tolak Kor Ming untuk Timbalan Speaker

‘No Anwar’ ‘No DAP’, Pas yakin MP tolak Kor Ming untuk Timbalan Speaker

Pas Selangor mencalonkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang akan diputuskan esok.

Setiausaha Perhubungan Pas Negeri, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Ahli Parlimen parti itu akan mengundi menyokong Ahli Parlimen Pontian dari UMNO itu.

“Dalam isu calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang akan diputuskan Selasa ini, parti kerajaan telah mengemukakan nama Ahmad sebagai calonnya.

“Dengan itu, ia juga adalah calon Pas dan Pas akan mengundi menyokongnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO Malaysia mendedahkan pencalonan beliau itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, pencalonan itu dibuat selepas Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada Jumaat minggu lalu.

Mesyuarat Parlimen ke-14 pagi ini hanya mempunyai satu urusan mesyuarat iaitu titah pembukaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa Ahmad tidak layak dicalonkan kerana masih mempunyai kes di mahkamah, Roslan berkata, sejak bila seseorang yang belum sabit kesalahannya dikira bersalah?

“Kita mendukung kedaulatan undang-undang dan dalam sistem kita seseorang dikira tidak bersalah sehinggalah disabit kesalahannya.

“Sebagaimana Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), walau didakwa kes rasuah di mahkamah, beliau masih bebas sebagai Ahli Parlimen kerana tidak lagi disabit bersalah.

“Apa pun yang muktamad Pas tidak sekali-kali akan sokong atau terima calon DAP, Nga Kor Ming sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata, Pas adalah sebahagian daripada kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sebagaimana sebelum ini, Pas adalah sebahagian daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebagai rakan dalam kerajaan, tugas Pas adalah mendukung dan mempertahankan kerajaan selagi mana ianya diurus selaras dengan kehendak dasar perjuangan parti itu.
“Sejarah Pas membuktikan tidak pernah khianat apabila berkawan apa lagi mengugut dan mengambil kesempatan dari kawan,” katanya.

Sumber – MalaysiaGazette

COMMENTS