No Najib, No Zahid – Anwar

No Najib, No Zahid – Anwar

Pakatan Harapan (PH) tidak berbincang dengan mana-mana parti untuk berkolaborasi namun bersama Ahli Parlimen tertentu yang berpegang teguh kepada agenda reformasi.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia juga tidak terbatas kepada Ahli Parlimen satu parti semata-mata.

“Kita telah berinteraksi dengan Ahli Parlimen individu yang berpegang kepada agenda reformasi dan membanteras rasuah.

“Maksud saya, ia tidak hanya terbatas kepada UMNO, seperti orang-orang yang berada dalam gabungan sekarang dan dahulu yang selalu berkompromi. Inilah sesuatu yang membimbangkan,” katanya semasa ditemurah saluran CNBC pada Jumaat.

Ketetapan Port Dickson sebelum ini memutuskan Anwar mengetuai kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

Antara ketetapan lain termasuk mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan sekali gus menamatkan darurat.

Dalam pada itu Anwar menegaskan, tidak timbul isu kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun jika diberi peluang.

Tegasnya, Najib juga bukan mengetuai mana-mana parti selain berhadapan perbicaraan mahkamah yang mengambil masa bertahun-tahun.

“Jangan lupa bahawa kami pernah bekerja dengan Dr Mahathir dengan syarat dia mengikuti agenda reformasi. Kita berjaya dalam beberapa aspek tertentu tetapi dia gagal kerana tidak mengotakan banyak janji.

“Ini bukan masalah kepemimpinan semata-mata, tetapi dari segi komitmen reformasi, sangat selektif dari segi prasyarat serta langkah-langkah. Sekarang dengan merujuk kepada Najib, persoalannya tidak relevan, tidak ada asasnya.

“Dia tidak memimpin parti, dia tidak terlibat dalam perbincangan dengan kami, hanya persepsi. Dia diadili dan saya rasa akan mengambil masa bertahun-tahun. Saya rasa tidak perlu untuk melibatkannya dalam siri rundingan yang berlangsung,” katanya. – AA