Noh optimis jadi MB Selangor melalui Muafakat Nasional

Noh optimis jadi MB Selangor melalui Muafakat Nasional

UMNO Selangor mahu hubungan dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dikekalkan di negeri ini bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kedua-dua parti itu yang ketika ini selaku pembangkang di Selangor perlu bersatu bagi merampas semula negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, situasi politik di setiap negeri berbeza, begitu juga di Selangor yang amat memerlukan kerjasama politik bersama Pas.

“Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru amat berbahaya kerana ia hanya memenangkan PH, sebaliknya kita berharap dapat meneruskan kerjasama di antara MN dan bukan (kerjasama dengan) PN (Perikatan Nasional),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Bersama Peniaga di Tapak Bazar Ramadan Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, berdasarkan kajian pengundi di Selangor menunjukkan pengundi Melayu sama ramai dengan bukan Melayu.

“Ada beberapa DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen di Selangor majoriti Melayu dan kalau berpecah ia hanya memenangkan calon PH,” ujarnya.

Jelas beliau, hubungan kerjasama antara kedua-dua parti menerusi MN pada masa ini masih berjalan baik dan sering mengadakan program secara bersama.