Noh persoal PN, apa kaitannya darurat dengan Parlimen yang digantung

Noh persoal PN, apa kaitannya darurat dengan Parlimen yang digantung

Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar mempersoalkan penggantungan Parlimen berikutan penguatkuasaan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Noh, banyak perkara yang dapat dibangkitkan terutama di tengah-tengah penularan wabak Covid-19 jika sidang Parlimen diteruskan.

“Apa yang menghantui fikiran saya adalah mengapa Parlimen digantung? Apa kaitannya darurat dengan Parlimen yang digantung?

“Kalau Parlimen dibenarkan bersidang, saya yakin banyak masalah rakyat dapat disuarakan. Ahli Parlimen dapat beri input kepada kerajaan bagaimana untuk bantu rakyat memandangkan kesusahan rakyat di setiap tempat berebza.

“Dasar bantuan (rakyat menghadapi Covid-19) sepatutnya secara bottom-up dan setiap dasar kerajaan perlu ada semak dan imbang melalui sidang Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dia menjadikan isu pembelajaran dalam talian sebagai contoh yang menurutnya perlu ditangani secara berbeza mengikut kawasan.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mempersoalkan penggantungan Parlimen di saat cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan berjalan seperti biasa sepanjang darurat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula meminta semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin, sebelum 31 Januari. Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga mengambil langkah serupa.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula dilaporkan menghantar surat kepada ahli Parlimen itu agar menyokong gesaan sidang Parlimen khas diadakan berhubung pengisytiharan darurat, tetapi sebahagian besarnya menolak cadangan itu.

Mengulas lanjut, Noh yang juga pengerusi Umno Selangor turut mempersoalkan tujuan sebenar darurat dikuatkuasakan.

“Pada fikiran saya darurat akan membolehkan kerajaan melaksanakan SOP PKP (seperti pertama kali tahun lalu). Malangnya tak ada beza antara PKP dan darurat kerana banyak sektor masih beroperasi seperti biasa.

“Hari ini diumumkan kedai makan dibenarkan beroperasi hingga jam sepuluh malam. Saya bertambah keliru dengan darurat yang diisytiharkan samada ‘darurat kesihatan atau darurat politik’,” katanya. – MK