Noh ‘udang’ kata UMNO kini hanya tinggal kaki bodek

Noh ‘udang’ kata UMNO kini hanya tinggal kaki bodek

 

Tan Sri Noh Omar berikrar menjadikan Parlimen Tanjung Karang sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas sekian lama dikuasai UMNO.

Noh yang juga Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, semalam mengesahkan akan bertanding pada PRN negeri akan datang atas tiket PN.

“Sudah 30 tahun saya mempertahankan kawasan Tanjong Karang sebagai kubu kuat UMNO. Mereka (UMNO) boleh benci saya tetapi jangan jadikan rakyat di sana sebagai mangsa kerakusan politik mereka,” katanya ketika ditemui Berita Harian selepas majlis Ukhwah Raya, semalam.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata UMNO sudah mula hilang bisa dan kini hanya gah pada nama.

Menurut beliau, ia susulan kepimpinan parti itu yang tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan perlembagaan UMNO yang asal.

“Saya sayang UMNO. Masakan tidak, sudah lebih 30 tahun saya berjuang dalam UMNO demi orang Melayu dan rakyat,” katanya.

Noh berkata beliau faham dalam politik tidak ada yang kekal, pemimpin silih berganti apa yang ada hanyalah perjuangan sesebuah parti.

“Jika dilihat, di negara ini kebanyakan pemimpin parti politik utama kini adalah dari UMNO,

“Tun Dr Mahathir, bekas Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin, Anwar Ibrahim, Shafie Apdal, semua itu orang UMNO. Mereka pernah pegang jawatan dalam UMNO tetapi apabila tidak setuju dengan pemimpin pada masa itu, mereka dipecat atau letak jawatan dan teruskan kerjaya politik mereka dengan pasukan (parti) lain,” katanya.

Menurut Noh, akibat amalan pemecatan pemimpin-pemimpin UMNO, mereka tubuh parti sendiri dan terus merebut jawatan Perdana Menteri.

“Sekarang giliran saya dipecat, ketika saya berada dalam UMNO. Saya tak boleh bercakap lebih, akan dipecat. Jadi mereka yang masih dalam UMNO jangan gembira sangat, apabila pemimpin UMNO bertukar, nasib mereka belum tentu lagi,” katanya.

Mengakui UMNO mempunyai pengikut yang ramai dengan lebih 1.3 juta keahlian, Noh berkata parti itu sememangnya hebat dari struktur dan sokongan akar umbi.

“Tetapi jika kerakusan ini diteruskan, UMNO akan hilang. UMNO telah lari dari perjuangannya dan bukan lagi tempat perlindungan orang Melayu.

“Sebagai contoh, usul tidak tanding jawatan presiden UMNO antara salah guna kuasa dalam kepimpinan UMNO.

“Saya sayang UMNO, sejak belajar di United Kingdom (UK) dahulu kini sudah 30 tahun saya dengan UMNO. Namun UMNO kini hanya tinggal kaki bodek, kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.

“Lokman Adam, Isham Jalil, di peringkat bahagian pun mereka tak dapat menang macam mana UMNO kata itu suara akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata gabungan itu mengalu-alukan semua pihak yang mahu bersama parti itu demi kepentingan rakyat.

“PN adalah sebuah parti yang tahu menjaga kepentingan parti dan menghargai kelebihan individu dalamnya, sesiapa pun yang mahu menyumbangkan tenaga dan kelebihan kepada PN, kami terima.

“Tetapi janganlah menyertai dan meletakkan syarat serta mengharapkan balasan jawatan atau mempunyai agenda peribadi, PN akan menilai kelebihan dan keupayaan individu tanpa perlu mereka meminta-minta jawatan atau sebagainya,” katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.

Setiausaha perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata PAS dan PN Selangor mengalu-alukan mana-mana tokoh yang mahu membantu PN dalam PRN akan datang.

“PAS Selangor memang punya hubungan yang cukup baik dengan Tan Sri Noh sejak era Muafakat Nasional (MN) lagi,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Roslan, dengan pengaruh besar Noh di Selangor khasnya dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO, PAS yakin pembabitan Noh akan memberi impak positif pada PN.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyambut baik keputusan bekas-bekas pemimpin UMNO yang ingin menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Perkara ini sudah lama dibincangkan, namun baru kini disahkan oleh beberapa pihak, jadi saya amat mengalu-alukan kehadiran mereka ke dalam parti kontemporari yang sedang bergerak laju menuju ke Putrajaya,” katanya.

Ditanya sama ada bekas ahli parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar akan mengikuti langkah beliau dan bekas ahli parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa untuk menyertai PAS, Shahidan berkata perkara itu tidak penting buat masa sekarang.

“Mereka nak sertai PAS, BERSATU, Gerakan, atau mana-mana komponen PN, mana-mana pun asalkan bersama PN, saya amat mengalu-alukan kehadiran mereka,” katanya.

Sabtu lalu, Noh mengesahkan akan menyertai PN ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRN yang dijangka diadakan bukan Jun depan.

Noh turut menyatakan kesediaan untuk menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN setelah dipecat UMNO selepas 30 tahun menabur bakti di sana.

“Saya sudah sebati dengan politik. Saya bukan penonton, saya mesti terbabit sama dalam pertandingan politik. Jika pasukan dahulu (UMNO), selepas saya berkhidmat 30 tahun tendang saya, takkan saya jadi tukang sorak sahaja,” katanya.