Nombor ekor dan cabutan bertuah: Baca ini untuk elak kekeliruan

Nombor ekor dan cabutan bertuah: Baca ini untuk elak kekeliruan

 

Didapati masih lagi terdapat kekeliruan di kalangan masyarakat berhubung konsep perjudian yang sebenar dalam Islam.

Baru-baru ini, timbul isu yang mengaitkan cabutan istimewa Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN SSP) dengan perjudian kerana konsepnya dikatakan sama dengan cabutan nombor ramalan atau nombor ekor.

Seorang pengarah syarikat swasta, Ahamad Emran melalui laman Facebooknya telah membuat hantaran berikut bagi cuba membantu orang ramai untuk mendapatkan sedikit kefahaman sekali gus merungkai kekeliruan dan salah faham mereka mengenai perjudian selama ini.

Jom ikuti penjelasan dan penerangan dari beliau berikut yang boleh dimanfaatkan kita bersama.

Nombor Ekor Cabutan Bertuah Perjudian

Apa beza JUDI & LUCKY DRAW?

Terjumpa kiriman ini oleh seorang rakan yang merasakan bahawa kedua-duanya adalah sama. Pada satu ketika, saya juga pernah terfikir ianya adalah sama.

Rupanya, sama tak semestinya serupa.

Lucky draw tak salah. Sama macam % tak salah. Memang ramai yang skeptical dengan Islamic banking, from both Muslims and non Muslims.

Here’s my attempt to clarify. Kalau salah tolong betulkan.

—-

Saya dapat lihat banyak kekeliruan dan salah faham tentang apa yang dianggap sebagai perjudian dalam Islam.

Saya cuba untuk jelaskan.

Judi dilarang dalam Islam.

Cabutan bertuah tidak. Cabutan bertuah hanyalah satu cara untuk memilih.

Ini contoh-contohnya.

1) Toto, Magnum 4D, dan sebagainya dianggap sebagai perjudian kerana ia adalah zero sum game. Semua orang membayar wang untuk mendapatkan tiket yang disertakan dengan nombor. Jika nombor anda tidak dipilih, anda kehilangan segalanya dan pemenang mendapat keuntungan dari anda. Cara pemilihan pemenang adalah dengan membuat cabutan bertuah.

2) SSP bukan perjudian. Anda menyerahkan wang anda kepada pihak bank untuk dideposit dan dijadikan sebagai simpanan. Sebagai tarikan untuk penyimpan, pihak bank akan melakukan cabutan bertuah. Anda sebenarnya tidak membeli nombor. Anda diberikan nombor secara percuma. Jika nombor anda tidak dipilih, anda tidak akan kehilangan apa-apa wang anda di bank. Ini bukan zero sum game. Ini hanyalah cabutan bertuah untuk menentukan “pemenang”.

3) Sekiranya anda menghadiri majlis jamuan makan malam syarikat anda, di penghujungnya ada dilakukan acara cabutan bertuah. Ini bukan perjudian. Anda tidak membayar apa-apa. Jika nombor anda tidak terpilih, anda tidak akan kehilangan wang anda pun.

4) Sekiranya anda menghadiri majlis makan malam alumni, anda perlu membayar untuk tempahan tempat duduk di meja anda. Di penghujungnya, ada acara cabutan bertuah dan hadiah telah dibeli menggunakan duit dari yuran kemasukan tadi. Ini boleh dianggap sebagai satu perjudian atau sekurang-kurangnya gharar (tidak pasti/penipuan/risiko). Yang mana patut dielakkan.

4a) Macam mana cara nak elakkan acara cabutan bertuah majlis makan malam dari terlibat dengan unsur judi? Dapatkan penaja. Yuran yang dibayar untuk tempat duduk sepatutnya hanya khas untuk makanan, sewa ruang, hiburan, dan sebagainya (secara asasnya barang yang akan memberi manfaat/dinikmati oleh semua). Hadiah untuk cabutan bertuah sepatutnya disediakan oleh penaja (pihak ketiga, dan tidak digunakan dari kumpulan wang dari yuran kemasukan yang telah dikutip).

5) Kebiasaannya anda membeli aiskrim yang berharga RM2. Walau bagaimanapun, untuk bulan Februari, ada pertandingan cabutan bertuah. Untuk setiap aiskrim yang anda beli, anda akan menerima nombor. Namun, harga aiskrim itu masih lagi RM2. Ini tidak dikira sebagai judi kerana harganya masih sama.

5a) JIKA anda diberikan pilihan. Anda boleh mendapatkan aiskrim pada harga RM2, atau anda boleh membayar RM2.50 untuk layak memasuki cabutan bertuah tersebut, daripada tambahan RM0.50 ini akan menyebabkannya menjadi perjudian, disebabkan anda sebenarnya membayar untuk mendapatkan nombor tersebut (sama seperti contoh pertama).

Harap ini dapat menjelaskan mengapa cabutan bertuah itu tidak haram, tetapi perjudian/zero sum game itu adalah sebaliknya.