Noor Hisham dakwa tidak dirujuk ketika kerajaan buat keputusan longgarkan sekatan PKP 2.0

Noor Hisham dakwa tidak dirujuk ketika kerajaan buat keputusan longgarkan sekatan PKP 2.0

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengakui kerajaan mungkin memberi kelonggaran terlalu awal kepada beberapa sektor ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan awal tahun ini.

Katanya, walaupun PKP 2.0 pada Januari lalu berjaya mengekang jangkitan Covid-19 melebihi 10,000 kes sehari, tetapi ia gagal menurunkan jumlah itu kepada dua atau tiga angka.

“Kita membuka sektor sosial, pendidikan, sukan dan sebagainya terlalu awal, pada pertengahan Mac. Mungkin ketika itu ada kelesuan pendemik dan kita lihat ada ketidakpatuhan SOP,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PKP 2.0 berjaya mengelakkan jumlah kes harian meningkat sehingga 20,000 kes sehari pada minggu pertama Mac.

Sementara itu, mengenai PKP 3.0 yang akan berkuat kuasa esok, beliau berharap dalam tiga hingga empat minggu, Kementerian Kesihatan mampu meningkatkan kapasiti hospital dan unit rawatan rapi (ICU), dengan jumlah kes dapat dikurangkan ke tahap terkawal.

Katanya, hampir 500 daripada 734 katil ICU di seluruh negara digunakan ketika ini.

Noor Hisham memberi amaran jika kes Covid-19 terus meningkat secara drastik dari akhir Mac hingga pertengahan Jun ini, jumlah pesakit yang perlu dimasukkan ke ICU mungkin melebihi 1,700 orang.

“Ini (PKP 3.0) akan memberi KKM masa untuk menentukan tindakan seterusnya, jadi kami mampu merawat pesakit yang datang ke hospital ketika kes meningkat.”

Selain kekurangan katil ICU di hospital, katanya, terdapat juga peningkatan kes varian Covid-19 membimbangkan (VOC).

Beliau berkata, 14 kes baharu varian Afrika Selatan dikesan di Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor hari ini, menjadikan keseluruhan 62 kes membabitkan varian ini.

Katanya, KKM turut mengenal pasti dua kes varian India dan lapan kes varian UK.

“Dalam empat varian membimbangkan, kita kesan tiga dan ini situasi yang merisaukan kerana kita percaya ia sudah merebak ke banyak negeri,” katanya sambil menambah tiada kes dikesan untuk varian Brazil setakat ini.

Beliau berkata, 80% jangkitan bukan lagi dalam kluster, tetapi bersifat sporadik, dengan 92% jangkitan membabitkan warganegara Malaysia. – FMT