Nota suara burukkan Wisma Putra, ‘Datin’ terlibat dikenal pasti

Nota suara burukkan Wisma Putra, ‘Datin’ terlibat dikenal pasti

Seorang pembantu kepada bekas menteri luar mungkin mendapati dirinya berdepan masalah kerana membocorkan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan kehadiran diplomatik Malaysia di luar negara, selepas mesej suara daripada pegawai Wisma Putra kepadanya tular di media sosial, dedah portal MalaysiaNow.

Dalam mesej audio yang tular minggu lalu, seorang pegawai kedengaran mengadu kepada wanita itu, yang bergelar “Datin”, mengenai dakwaan masalah yang dihadapi oleh diplomat Malaysia di luar negara.

“Sesetengah maklumat itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Pegawai itu kemudiannya dikenal pasti dan telah pun dipanggil untuk menerangkan mesej audio tersebut.

“Beliau mendedahkan nota suara itu dihantar kepada Datin yang merupakan bekas setiausaha akhbar kepada bekas menteri luar negeri.

“Ternyata bukan dia yang membocorkan fail audio itu,” tambah sumber itu.

Perkembangan itu susulan tindakan Wisma Putra baru-baru ini terhadap dua diplomatnya di UAE yang gagal mengatur lawatan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akhir bulan lalu.

Duta Malaysia ke UAE, Tarid Sufian, dan konsul jeneralnya di Dubai, Hasril Abdul Hamid, ditempatkan di Putrajaya selepas kesilapan komunikasi mereka menyebabkan pegawai UAE tidak tahu mengenai lawatan Ismail.

Difahamkan bahawa tuan rumah berasa malu dengan ketiadaan protokol yang biasanya diberikan kepada ketua negara yang melawat, dengan pegawai UAE memohon maaf kepada delegasi Malaysia.

Difahamkan, Wisma Putra sebelum ini juga pernah mengambil tindakan serupa terhadap diplomat yang gagal dalam tugas mereka.