Nurul Izzah pandang sinis peluang PH menang PRU-15
Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau dua pusingan pilihan raya umum untuk kembali menguasai Putrajaya, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Bekas naib presiden PKR itu berkata, gabungan itu juga diramal berdepan laluan sukar dan akan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Justeru Izzah berkata, PH perlu menjadi parti pembangkang yang bermaruah dengan menawarkan tawaran baharu yang lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.
“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.
“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk menawarkan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan keadaan yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini,” katanya menurut laporan portal FMT.
Bagaimanapun Izzah berkata, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan terlalu singkat untuk dinilai berbanding Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama lebih enam dekad.
“Mungkin Umno dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi ‘mengaum’ sekuat mungkin.
“Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua ahli Parlimen patut berasa takut.”
Dalam pada itu, Izzah berharap beliau diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 nanti.
“Bagaimanapun, saya menghormati apa juga keputusan akhir yang dibuat oleh pimpinan tertinggi PKR,” katanya.