Nyahwarta 3,178 ekar Hutan Simpan Gunong Besout, Zambry perlu jawab dakwaan aktivis alam sekitar

Nyahwarta 3,178 ekar Hutan Simpan Gunong Besout, Zambry perlu jawab dakwaan aktivis alam sekitar

Dakwaan barat bahawa Malaysia telah memusnahkan hutan untuk pembukaan ladang sawit ada asasnya.

Misalnya apa yang telah berlaku di sini apabila sebahagian besar kawasan Hutan Simpan Gunung Besout (Mukim Sungkai, Perak) telah dinyahwarta sebanyak 3,178.14 hektar pada tahun 2010 dan diberikan hak milik kepada syarikat / entiti berkait dengan kerajaan, lalu ditebang habis untuk tujuan pembukaan ladang sawit.

Penyahwartaan ini adalah antara yang terbesar di negeri Perak sejak tahun 2010.

Sudahlah begitu, pembukaan dan pengurusan ladang sawit pula tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan di bawah Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan roundtable of sustainable palm oil (RSPO). Misalnya tiada penjagaan buffer zone / zon riparian sungai, ladang sawit dibuka sehingga ke gigi sungai.

Sepatutnya sebarang aktiviti pembukaan tanah atau hutan, zon tumbuhan / hutan di tebing sungai perlulah di kekalkan mengikut kelebaran sungai, minimum 10 m sehingga ke maksimum 50 m bagi mengelakkan mendapan & pencemaran daripada pembukaan tanah.

Apabila hujan turun, sudah tentu berlaku mendapan lumpur dan mengakibatkan air sungai keruh.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri harus mengambil serius tentang dakwaan ini dengan mereformasi undang-undang berkaitan tanah (seperti Kanun Tanah Negara 1965 & Akta Pengambilan Tanah 1960) dan mengetatkan lagi garis panduan pembukaan ladang monokultur di Malaysia seperti mengutamakan dahulu tanah-tanah miskin, ladang sawit lama yang tidak produktif dan tanah terbiar lain daripada membuka kawasan hutan semula jadi dan menyahwarta kawasan hutan simpan untuk pembukaan ladang monokultur seperti sawit, getah dan sebagainya.

Daripada usaha reformasi undang2 tanah ini, jika tanah terbabit terbiar & tidak dibangunkan untuk jangka masa tertentu, dan berada di dalam kawasan hak milik / swasta, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengambil semula tanah terbabit tanpa perlu membayar pampasan yang begitu tinggi dan diberikan kepada pemohon yang baru.

Selalunya tempoh pajakan yang lama yang diberikan kepada individu / entiti swasta menghalang kita untuk memaksimumkan penggunaan tanah terbiar untuk pembukaan ladang-ladang baru, sebab itu kerajaan negeri kena meluluskan kawasan hutan semulajadi untuk pembukaan ladang kerana ia murah, mudah dan keuntungan yang lumayan tetapi tidak semestinya mampan.

Saya bukanlah anti pembangunan dan kemajuan ekonomi, yang saya anti adalah pembangunan yang tidak mengikut garis panduan dan melibatkan eksploitasi alam yang tidak terkawal. Apa gunanya pembangunan jika akhirnya kita rugi untuk jangka masa panjang akibat daripada bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan perubahan iklim serta kehilangan pelbagai sumber biodiversiti.

Kita boleh sahaja menjalankan pembangunan dengan mengimbangi antara keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Cuma mahu dengan tidak mahu sahaja

Namun saya rasa, melihat pada mentaliti kebanyakan pemimpin yang ada sekarang, mereka takkan melakukan sesuatu yang baru dalam hal ini kerana kempen pilihan raya dan pendapatan mereka pun datang daripada kemusnahan alam – duit komisyen daripada balak dan ladang memang lumayan untuk ahli politik yang ada kuasa memberi kelulusan.

Tunggu kita bersalin generasi sajalah, itu pun kalau kita masih ada hutan lagi

Meor Razak