Operasi selamatkan ejen kosmetik, polis Siam serbu rumah di pinggir Sungai Golok

Operasi selamatkan ejen kosmetik, polis Siam serbu rumah di pinggir Sungai Golok

Polis Thailand melancarkan operasi bagi mengesan ejen jualan kosmetik Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat, petang Selasa lalu.

Sumber pihak berkuasa Thailand, memaklumkan pihaknya turut membuat serbuan di sebuah rumah di pinggir Sungai Golok atau Takbai, di sini, semalam.

Katanya, serbuan berkenaan dibuat susulan maklumat yang diperoleh bahawa kediaman itu dihuni salah seorang suspek.

Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, kediaman terbabit kosong, namun sumber berkenaan memberi jaminan, operasi akan dilakukan secara berterusan.

“Operasi mengesan mangsa akan diteruskan lagi berpandukan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Malaysia (Kelantan).

“Sebarang maklumat berkaitan akan disalurkan dari semasa ke semasa. Kita akan membantu mengesan mangsa yang dikatakan dibawa lari ke sini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian jam 5.10 petang Selasa lalu, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu.

Siasatan awal pihak polis mendapati suami mangsa dipercayai terbabit aktiviti penyeludupan dadah dan polis sudah menahan tiga individu, termasuk lelaki berkenaan dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam bagi membantu siasatan.