“Orang Malaysia nak beli bukan main susah” – Wanita berang warga asing ambil minyak masak paket, ini pula jawapan KPDN
Tular satu video di sebuah pasar raya terkemuka di selatan tanah air di mana warga asing dilihat mempunyai minyak masak paket bersubsidi dalam troli mereka.
Menerusi Facebook, seorang wanita memilih untuk merakam video di mana sekumpulan warga asing dapat mengambil minyak masak paket.
Sudah berulang kali dia menyoal pekerja di pasar raya tersebut tentang di mana kedudukan minyak masak paket tapi alasan diberi adalah ia sudah habis.
Ketika itulah dia melihat tiga orang warga asing meletakkan minyak masak paket yang dikatakan habis stok itu ke dalam troli mereka.
“Orang Malaysia nak beli bukan main susah, mereka (warga asing) senang sahaja dapat beli barang subsidi,” ujarnya
Berang dengan kejadian tersebut dia mula menyoal pekerja di sana mengapa warga asing diberi keistimewaan untuk barang kawalan yang sepatutnya diberikan kepada warganegara.
Rata-rata pekerja memaklumkan mereka tidak tahu akan hal tersebut dan minyak itu diberikan oleh seorang wanita kepada warga asing.
“Bukan kami yang bagi, mereka hanya ambil sahaja. Itu hanya ‘display’,” jelas pekerja tersebut.
Wanita tersebut memohon agar pasar raya tersebut menyiasat hal itu agar kejadian sama tidak berulang kembali.
Rata-rata warganet turut berkongsi hal sama berlaku di kedai berhampiran mereka di mana warga asing dapat menikmati barangan bersubsidi.
“Kedai runcit dekat rumah saya pun sama. Juruwang Bangladesh selamba jual dengan orang Nepa; bila kita nak beli bagai alasan sudah habis.
“Seeloknya kat kaunter letak orang tempatan, masa nak bayar nampak muka mereka minta kad pengenalan.
“Benda macam ini dah lama berlaku, buat laporan sekarang pun esok jadi juga. Rakyat sendiri nak guna tak boleh sebab alasan habis, orang asing juga untung,” antara komen warganet.
Biarpun tiada akta yang melarang warga asing untuk membeli minyak masak paket, namun orang awam percaya ia sepatutnya dijadikan hak istimewa warganegara Malaysia sahaja.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Johor menegaskan tiada aktiviti menyorok minyak masak peket bersubsidi seperti didakwa menerusi video tular tersebut.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya mengambil maklum video mengenai video tular itu dan mengarahkan anggota penguat kuasa ke pasar raya berkenaan.
Berdasarkan keterangan pengurus pasar raya dan pemantauan dilakukan, tiada unsur sorokan atau dakwaan mengutamakan warga asing membelinya minyak masak peket berbanding rakyat tempatan.
“Selain itu, pasar raya berkenaan turut mengakui hanya menerima 240 peket minyak masak bersubsidi.
“Jumlah itu bagi KPDN sangat sedikit berbanding premis yang besar dan dikunjungi ramai pembeli,” katanya menurut laporan Sinar Harian.