P. Pinang tewaskan Kedah jadi negeri penyumbang eksport tertinggi di Malaysia

P. Pinang tewaskan Kedah jadi negeri penyumbang eksport tertinggi di Malaysia

PULAU Pinang mencatatkan sumbangan tertinggi daripada jumlah perdagangan dalam kalangan negeri pada Ogos daripada jumlah perdagangan Malaysia sebanyak RM265.7 bilion pada bulan yang sama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Memetik Sinar, jumlah eksport Malaysia naik sebanyak RM46 bilion atau 48.2 peratus kepada RM141.3 bilion pada Ogos berbanding bulan yang sama pada tahun lepas, dengan eksport lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri diterajui oleh Pulau Pinang (RM17.1 bilion).

Johor mencatatkan eksport bernilai RM14.7 bilion, Selangor (RM4.7 bilion), Sarawak (RM4.1 bilion), Kuala Lumpur (RM2.2 bilion), Kedah (RM1.7 bilion), Sabah (RM756.3 juta), Melaka (RM733.1 juta), Negeri Sembilan (RM318.9 juta), Kelantan (RM259.7 juta), Pahang (RM153.7 juta) dan Perlis (RM60.6 juta).

Bagaimanapun, eksport merosot di Perak sebanyak RM371.2 juta, Terengganu (-RM316.6 juta) dan Labuan (-RM87.8 juta), katanya.

Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 29.9 peratus, diikuti Johor (23.4 peratus), Selangor (17.5 peratus), Sarawak (8.4 peratus) dan Kuala Lumpur (5.3 peratus).

Pada masa sama, import pada Ogos turut meningkat RM50.2 bilion atau 67.6 peratus kepada RM124.4 bilion berbanding bulan yang sama pada 2021.

Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh semua negeri, diterajui oleh Johor, dengan peningkatan sebanyak RM14.2 bilion.

Ini diikuti Selangor (RM10.6 bilion), Pulau Pinang (RM8.9 bilion), Kuala Lumpur (RM6.6 bilion), Negeri Sembilan (RM2.1 bilion), Melaka (RM1.9 bilion), Kedah (RM1.5 bilion), Sarawak (RM920.6 juta), Pahang (RM888.5 juta), Perak (RM821.7 juta), Sabah (RM538.3 juta), Labuan (RM294.2 juta), Terengganu (RM174.7 juta), Perlis (RM74.5 juta) dan Kelantan (RM26.3 juta).