“Pada hari ini anak saya telah kembali kepada pencipta” – Ibu terkilan anak alami cirit birit 21 kali tapi doktor di klinik kesihatan hanya beri 3 sachet air garam
Seorang ibu meluahkan rasa terkilan dengan perkhidmatan dan layanan daripada sebuah klinik kesihatan di Pahang terhadap anaknya berusia dua tahun enam bulan.
Difahamkan, pengadu membawa anaknya ke sebuah Klinik Kesihatan setelah mendapati anaknya mengalami cirit birit sebanyak 21 kali dan mula kelihatan tidak aktif.
“Doktor sedia maklum anak saya seorang OKU dan mempunyai masalah Global Developmental Delay (GDD).
“Anak saya dikatakan tiada tanda dehidrasi dan diberikan air garam. Doktor hanya mengatakan kemungkinan terkena keracunan makanan.
“Ketika itu saya mengharapkan ada tindakan selanjutnya daripada doktor (ambil ujian darah dan rujuk ke hospital),” tulisnya.
Namun begitu, setelah pulang dari klinik, dia mula menyedari terdapat bintik kemerahan di kaki anaknya. Selain mata anaknya mula cengkung ke dalam. Bimbang melihat keadaan anaknya itu, pengadu terus membawa anaknya ke klinik swasta di Bentong untuk mendapatkan rawatan.
“Suhu anak saya ketika itu 40.1 dan bacaan keputusan darah putih anak saya terlalu tinggi. Doktor sarankan bawa anak saya ke hospital,” katanya.
Setelah dibawa ke Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) dan ditidurkan dalam keadaan yang sangat kritikal. Memikirkan keadaannya sebegitu, wanita ini menuntut penjelasan daripada doktor di Klinik Kesihatan tersebut.
“Saya terkilan apabila doktor jawab prosedur klinik kerajaan, keadaan anak saya ketika itu tidak memerlukan ujian darah (berdasarkan nadi dan bacaan oksigen).
“Kalaulah benar itu prosedur Klinik Kesihatan sekarang, saya sangat hampa! 21 kali anak saya cirit-birit itu mungkin tidak dipandang serius.
“Dalam masa tiga jam anak saya jadi kritikal. Saya hilang senyuman anak saya dalam masa satu hari je.
“Dan pada hari ini anak saya telah kembali kepada pencipta. Anak saya telah menghembuskan nafas yang terakhir pada hari Isnin 9.34 pagi,” katanya.