Pak Wan ‘kereta terbang’ dilantik Pengerusi Boustead

Pak Wan ‘kereta terbang’ dilantik Pengerusi Boustead

Selepas terpinggir tanpa jawatan dalam kabinet Ismail Sabri, Mohd Redzuan Md Yusof akhirnya dilantik sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Mohammed Shazalli Ramly berkata kumpulan itu amat berbesar hati atas pelantikan Mohd Redzuan itu dan percaya pengalaman luas beliau dalam bidang korporat dan awam akan mempertingkatkan prestasi Boustead, seperti dipetik daripada portal Malaysiakkni.

“Kami berharap di bawah kepimpinan Mohd Redzuan, beliau akan memenuhi matlamat strategik kami selaras dengan strategi Reinventing Boustead untuk mempercepatkan prestasi keseluruhan untuk meningkatkan dan memaksimumkan nilai pemegang saham erta melindungi kepentingan pemegang saham kami terutamanya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang saham majoriti kami,” katanya.

Dalam satu kenyataan, cabang pelaburan LTAT itu berkata Mohd Redzuan, 64, telah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2018 hingga 2020, seterusnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dari 2020 hingga 2021.

Menurut syarikat itu, Mohd Redzuan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari University of Leeds, United Kingdom dan memulakan kerjaya cemerlangnya sebagai jurutera dengan ESSO Malaysia Sdn Bhd, seterusnya berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd.

Mohd Redzuan meneruskan kerjayanya dalam sektor korporat dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk pengarah eksekutif (ED) Swiber Marine (M) Sdn Bhd serta Wakil Negara untuk Swiber Holdings Ltd, Singapura; ketua pegawai eksekutif (CEO) Module Tech Sdn Bhd, ED Kumpulan Syarikat Gagnar dan ED Kumpulan Syarikat Orbtech.

Beliau juga merupakan Pengarah Bukit Fraser Thermal Technologies Sdn Bhd; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gagnar, Marginal Field Solutions Sdn Bhd dan Seahorse Platforms Asia Sdn Bhd.

Dengan pelantikannya itu, dia dijangka bakal membantu mempercepatkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat itu untuk tahun 2022.