Pakai niqab & berjubah menyamar jadi wanita Muslim, rupanya ini yang dilakukan warganegara China di bandar Kuala Lumpur
Dengan hanya bermodalkan pakaian jubah dan niqab, seorang wanita warganegara China telah berjaya meraih pendapatan yang lumayan di Malaysia.
Menutup identiti sebenar, warga asing berkenaan rupanya sanggup menyamar sebagai wanita Muslim untuk menjalankan kegiatan mengemis di sekitar ibu negara.
Taktik kotor wanita warganegara China itu akhirnya terbongkar selepas ditahan oleh Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu serbuan di Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Selain wanita itu, lapan individu lain turut ditahan JIM dalam operasi penguatkuasaan menggempur pengemis warga asing di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, antara warga asing yang ditahan pihaknya adalah seorang lelaki China dan tiga orang perempuan Pakistan.
Seorang wanita Jordan, seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistan dan satu kanak-kanak lelaki warga Jordan turut ditahan ketika mengemis di Bukit Bintang.
Memetik laporan Kosmo!, Datuk Roslin memaklumkan bahawa kesemua pengemis warga asing yang ditahan adalah berumur antara lapan bulan sehingga 78 tahun.
“Salah seorang warga asing yang diperiksa turut membuat provokasi dengan berpura-pura mengalami kesakitan dan pengsan selain cuba melarikan diri apabila pegawai operasi bertindak untuk membantu.
“Selain daripada itu, seorang perempuan warganegara China dikesan menyamar sebagai wanita muslim dengan memakai niqab untuk menutup identiti sebenarnya yang bukan seorang muslim,” katanya.
Menurut Datuk Roslin, hampir semua wanita warganegara asing itu memakai niqab dan ada juga yang menggunakan kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai.
Sanggup melakukan kesalahan kerana mahu mendapatkan wang, kesemua pengemis yang ditahan difahamkan telah ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih.
“Antara kesalahan dikenalpasti ialah kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan dan tinggal lebih masa.
“Mereka yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” tegas Datuk Roslin.