Pakar agama tegur program penjawat awam wanita jadi tukang urut lelaki, “Urut bukan mahram tak boleh”

Pakar agama tegur program penjawat awam wanita jadi tukang urut lelaki, “Urut bukan mahram tak boleh”

 

TIMBUL kemusykilan dalam kalangan warga maya apabila tular mengenai sebuah program yang menjadikan aktiviti mengurut sebagai salah satu daripada bahan pengisian.

Yang menggusarkan apabila tukang urut wanita yang bertudung itu tanpa segan silu memegang anggota badan peserta lelaki.

Tambah membimbangkan, program itu didakwa disertai oleh kakitangan kerajaan perempuan yang kononnya kena jadi tukang urut pada hari kejadian.

Menerusi rakaman tersebut, mereka saling bergelak ketawa dan menikmati perkhidmatan urut badan itu sehingga menimbulkan komen negatif banyak pihak.

Antaranya, seorang pengguna, ياسمين حناني محمد سفيان yang aneh melihat golongan wanita bergaul berlebihan dengan bukan mahram.

“Siapa punya idea buat program kakitangan kerajaan perempuan jadi tukang urut? Isteri-isteri orang urut suami orang?

“Anak dara orang urut lelaki ajnabi? Biar betul. Dah senget kita ni tak boleh fikir batas halal haram,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Ani Jariah juga kesal dengan situasi yang berlaku itu.

“Astaghfirullah, bahagia sungguh pergaulan dengan bukan mahram. Ingat contoh bala yang ALLAH turunkan di Palu, Indonesia. Semoga dijadikan teladan,” tulisnya.

Bercakap soal itu, pendakwah bebas, Prof Dr. Idris Sulaiman tampil menegaskan bahawa seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan perempuan yang bukan mahramnya sama ada secara beralas ataupun tidak.

“Dari segi agama, tidak boleh. Dari segi fisiologi manusia, sentuhan (tactile sensory) boleh membangkitkan rangsangan.

“Kecuali rukhsah, ada keperluan doktor menyentuh untuk memeriksa penyakit umpamanya,” katanya.

Dr Idris turut memetik satu kenyataan daripada Saidatina Aisyah berkenaan cara Nabi Muhammad S.A.W menerima baiah taat setia para wanita sahabat di mana dia berkata:

لا والله ما مست يده يد امرأة في المبايعة.

Demi ALLAH tangan baginda ﷻ tidak pernah bersentuhan dengan tangan mana-mana wanita sewaktu menerima baiah (mereka).” [Sahih. Riwayat Bukhari]

Tambah lagi, Nabi Muhammad SAW bersabda:

إني لا اصافح النساء.

Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita.” [Sahih. Riwayat Ahmad]

Dr Idris turut berkata, larangan menyentuh perempuan bukan mahram ialah untuk mengelakkan fitnah di samping menutup peluang yang membawa kepada kemungkaran zina.

“Adapun membenarkan bersalaman dengan perempuan bukan mahram maka ia akan membuka pintu tersebut bermula dengan secara beralas sebelum tidak lama kemudian tanpa alas pula,” katanya.

Dr Idris turut berkata, membenarkan bersalaman dengan perempuan bukan mahram maka ia akan membuka pintu tersebut bermula dengan secara beralas sebelum tidak lama kemudian tanpa alas pula.

Lebih penting, Dr Idris berkata, ia menyalahi petunjuk Nabi S.A.W yang tidak pernah bersalaman dengan perempuan bukan mahram sama ada secara beralas ataupun tidak.

“Sedangkan baginda S.A.W merupakan individu yang paling mampu menahan nafsu syahwatnya, jika itu yang dijadikan sebagai alasan dan ukuran dalam membenarkan hal ini,” tulisnya.