Pakar hadis tampil bela Rasulullah saw daripada terus dihina

Pakar hadis tampil bela Rasulullah saw daripada terus dihina

Bahaya fahaman “kalau Nabi ke kanan, tok guru ke kiri, ikut ke kiri, jangan ikut kanan” ialah ia membuka pintu ajaran “syariat atau nas itu kulit, hakikat isinya lain”.

Akibatnya banyak nas-nas dari al-Quran dan al-sunnah termasuk huraian para ulama yang boleh dinyah atau diselewengkan semata-mata untuk menerima pakai kata-kata tok guru sendiri atas alasan “itu semua zahir, tok guru kami tahu yang batin”!

Kalau betul mahu membuat perumpamaan supaya ikut ulama, jangan guna perumpamaan batil kurang adab yang mudah-mudah mempergunakan batang tubuh Rasulullah ﷺ. Apatah lagi dengan istilah “Kalau hamba tengok Rasulullah berjalan ke kanan…” yang terang-terangan menggambarkan perbuatan Baginda yang jelas.

Adakah perlu begitu taksub mengikuti sang guru jika sudah jelas menyelisihi jalan Rasulullah ﷺ?

Sedangkan perbuatan Baginda ada banyak kategori. Ada yang jelas dan ada yang tidak jelas. Yang jelas pun ada banyak jenis dan yang tidak jelas juga ada banyak jenis. Sama juga dengan nas atau hukum, ada yang mudah difahami oleh semua termasuk orang awam dan ada pula yang memerlukan penguasaan beberapa disiplin ilmu untuk memahaminya.

Lebih ringan halnya jika dibuat perumpamaan, “Hamba rabun, tak nampak jelas Rasulullah pergi ke kanan atau kiri, tapi hamba nampak tok guru hamba pergi ke kiri”.

Benar kefahaman ulama itu penting dan sangat perlu, namun dalam perbahasan ilmu, ia tidak semudah itu. Kefahaman para ulama juga boleh pelbagai. Disiplin ilmu juga pelbagai. Namun tiada ulama jujur yang akan bersepakat mengikut jalan kiri kalau sudah jelas ‘kelihatan’ Rasulullah ﷺ menuju ke kanan. Sekiranya ada ulama yang ke kiri dan ada yang kanan, ikutlah ulama yang ke kanan bersama jalan Rasulullah ﷺ itu!

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan-Mu dan jalan Rasul-Mu yang lurus…

-Dr. Kamilin Jamilin-

Sumber – Facebook Dr Kamilin Jamilin