Pakar kesihatan dedah tabiat ‘shopping online’ selepas pukul 10 malam ada kesan sampingan
Jarum jam menunjukkan pukul 10 malam. Badan direbahkan di atas katil, lalu tangan menarik selimut dengan lembut.
Kemudian, mata pun dipejamkan, namun selepas beberapa saat, mata terbuka semula, dan tangan dengan pantas mencapai telefon pintar.
Tujuannya bukan untuk menghantar atau membalas pesanan WhatsApp, tetapi untuk membeli-belah secara online.
Pasti situasi seperti ini sering dilakukan oleh sebahagian besar individu. Minda dan fizikal baru sahaja diatur untuk berehat, namun tiba-tiba saja terpancar keinginan untuk membeli-belah.
Trend kehidupan masyarakat hari ini semakin berubah khususnya dalam aktiviti membeli-belah secara maya.
Pengguna moden sanggup mengorbankan kualiti tidur semata-mata untuk shopping online tanpa mengambil kira masa.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM). Menurut PHM, pengguna akan gelisah apabila melihat bakul maya kosong tanpa produk, walaupun bungkusan barang tempahan masih belum dibuka.
“Kini anda boleh membeli-belah pada bila-bila masa termasuk di atas katil sambil berbaju kaftan,” kata kenyataan terbabit menerusi laman sosial Facebook, PHM baru-baru ini.
Tambahnya, aktiviti ini boleh mengganggu kualiti tidur dan produktiviti pada keesokan harinya
Cahaya biru yang terpancar daripada telefon pintar juga boleh menyebabkan gangguan hormon melatonin, yang mempengaruhi kualiti tidur.
Justeru, jika obsesi terbabit tidak dikawal, ia boleh mendatangkan masalah kewangan terutamanya apabila berbelanja menggunakan kad kredit.
Itulah sebabnya penting untuk mengawal tabiat ini agar tidak menjejaskan kesihatan dan kewangan diri sendiri.