Pakar luah sokongan dengan kenyataan terkini Menteri KPM

Pakar luah sokongan dengan kenyataan terkini Menteri KPM

Hari ini Menteri Pendidikan, YB Fadhlina membuat dua pengumuman yang meredakan para ibubapa. Pertama, mengumumkan memang hasrat KPM untuk kembalikan sesi persekolahan pada bulan Januari.

Cuma buat masa ini, YBM maklumkan KPM perlu menyelesaikan beberapa hal pengurusan yang tidak boleh diabaikan.

Paling utama ialah melengkapkan jumlah hari persekolahan 190 hari seperti yang telah diperuntukkan di bawah Peraturan Persekolahan berkaitan jumlah Hari Persekolahan Murid.

Jadi pengumuman YBM ini pastinya akan melegakan ibubapa. Buat sementara waktu, bersabarlah.

Kedua, pengumuman YBM bahawa keputusan samada UPSR dan PT3 dikembalikan hanya akan diputuskan selepas tahun 2025 apabila KPM membentangkan Laporan Penuh Pencapaian PPPM 2013-2025. https://is.gd/KU0RWH

Berdasarkan laporan penuh tersebut, barulah keputusan akan diambil samada untuk kemballi kepada sistem pendidikan berasaskan peperiksaan menggunakan UPSR dan PT3 atau meneruskan amalan PBS berasaskan kepada PBD+PAJSK+PPsi+UASA seperti sekarang.

“Biarkan fakta dan data hasil dari laporan penuh PPPM nanti membantu KPM membuat keputusan”- itulah yang dimaklumkan oleh YBM.

Pada saya kedua-duanya pengumuman ini menyenangkan ibubapa. Tidaklah ibubapa tertanya-tanya tentang urusan persekolahan anak-anak mereka.

Jangan lagi kita ulang cara kerja lama, Tiba-tiba sahaja mansuhkan UPSR. Tiba-tiba sahaja mansuhkan PT3. Guru-guru jadi terpinga. Ibubapa pula keliru dibuatnya.

Jangan nanti dikembalikan UPSR atas persepsi, desakan atau populariti. Dulu, hanya kerana ada yang mahu UPSR dimansuhkan, KPM mansuhkan UPSR dan PT3.

Jadi janganlah nanti hanya bila ada ibubapa yang mahu UPSR dikembalikan semula, KPM buat ‘u-turn’ dan laksanakan semula UPSR.

TIdak boleh begitu lagi.

Gunakan ruang yang ada untuk berbincang sehabisnya. Dapatkan pandangan pakar pendidikan. Dapatkan pandangan pegawai KPM yang berpengalaman dan adakan libat urus dengan semua pemegang taruh khususnya guru-guru dan ibubapa. Akhir sekali, buatlah keputusan berdasarkan data dan fakta yang ada.

Maka, semua pihak akan boleh menerima keputusan KPM dengan hati yang terbuka.

Inilah perkara pertama yang saya nyatakan apabila ada rakan-rakan media bertanyakan pada saya, “apakah harapan Dr kepada YB Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan?” sejurus YBM dilantik.

Saya katakan, “biarlah semua keputusan KPM selepas ini berdasarkan fakta dan data. Tidak mengapa jika keputusan YBM tidak popular, asalkan keputusan itu baik untuk murid-guru, teratur caranya dan mencapai matlamat pendidikan yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Jangan lagi tergesa-gesa membuat keputusan pendidikan. Implikasinya sangat besar dan mendalam”.https://is.gd/KU0RWH

Alhamdulillah, seperti yang dinyatakan oleh YBM dalam pengumuman hari ini, beliau sendiri mahu supaya data dan fakta menjadi teras dalam membuat keputusan KPM. Satu langkah yang memuaskan. Sekurang kurangnya untuk saya sendiri.

Sumber – Facebook