Pakar pendidikan ini desak Menteri KPM selesaikan segera isu ‘guru dukalara’

Pakar pendidikan ini desak Menteri KPM selesaikan segera isu ‘guru dukalara’

Seorang pakar pendidikan yang semakin popular di media sosial berikutan perkongsiannya mengenai isu dan masalag pendidikan negara hari ini tampil mendesak agar YB Menteri KPM bersegera menyelesaikan masalah melibatkan ‘guru dukalara’.

Desakan beliau dibuat melalui hantaran FB terbarunya menggunakan nama Anuar Ahmad. Dalam hantaran yang sama, beliau tampil berkongsikan dua contoh kejadian melibatkan isu tersebut sambil menyatakan banyak lagi kes sama yang berlaku sejak dahulu ranpa tindakan berkesan daripada KPM.

Kisah 1: Ada seorang bekas pelajar saya. Beliau seorang guru sekolah yang berulang alik dari rumahnya di Tanjung Karang ke sekolah di Cheras. Setiap hari membonceng motosikal sejauh 170 km pergi balik. Bertolak dari rumah jam 5.30 pagi. Pulang rumah hari sudah malam. Kalau hujan lebat, lebih lewat lah beliau sampai ke rumah. Sampai di rumah, terpaksa pula sediakan perancangan pengajaran untuk esoknya.

Beliau mengaku beliau tidak gembira. Sudah begitu bertahun lamanya. Sudah berkali-kali memohon pertukaran sekolah, malangnya masih belum berjaya.

Saya tanya mengapa tak menyewa di Cheras? Kata beliau, ‘beliau menjaga ibunya di rumah keluarga’. Jika menyewa di Cheras siapa akan menjaga ibunya, dan jika beliau bawa ibunya ke Cheras, apa akan jadi pada rumah keluarga di Tanjung Karang?

Jadi beliau berkorban dengan membonceng motosikal setiap hari. Belum lagi sentuh tentang keselamatan beliau di jalan raya yang sibuk.

Beliau antara pelajar saya yang rajin dan bersungguh-sungguh mahu belajar. Aktif berbincang di dalam kelas.

Kesian beliau.

Kisah 2: Dulu semasa berkhidmat sebagai guru, saya juga ada rakan yang bertugas di sekolah yang sama di Sarawak. Hidup beliau seperti orang bujang walaupun telah berkahwin lebih 7 tahun. Terpisah dengan isteri dan anak-anak yang terpaksa tinggal bersama keluarga di Kelantan, menjaga ibu. Setahun sekali baru dapat berjumpa dengan anak-anak dan isteri. Ada kalanya lebih dari setahun. Anak-anak membesar bukan di depan mata. Selalu dengar keluhan beliau yang anak-anak dengan beliau pun tak begitu rapat.

Kesian beliau.

Bukan rahsia sebenarnya ada guru yang sampai bercerai berai kerana tinggal berjauhan terlalu lama. Malah ada guru yang sampai mengalami tekanan perasaan, merosot kesihatan mental dan kemurungan akibat berjauhan dengan pasangan dan anak-anak.

Apakah kesan pada sistem pendidikan negara jika situasi seperti ini tidak diiselesaikan? Kita akan berhadapan sekumpulan guru yang tidak bermotivasi, tidak fokus pada pengajaran, murung, panas baran, selalu berminda negatif dan kurang responsif kepada inovasi dan perubahan yang cuba dilakukan untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Mereka biasanya pesimistik. Dan mereka inilah yang sedang mendidik anak-anak kita.

Sebab itu, walaupun isu penempatan guru bukan terkait dengan isu silibus, inovasi pedagogi atau pentaksiran murid-murid, tetapi isu penempatan guru akan memberi kesan besar kepada kualiti sistem penyampaian pengajaran guru.

YB Menteri Pendidikan mempunyai tag line yang segar dan cukup menarik. “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera “.

Bolehkah atas niat dan usaha menjadikan ‘guru bahagia’, mulai tahun 2025, KPM letakkan sasaran supaya kita tidak mendengar lagi isu penempatan guru bagi yang telah berkhidmat lebih 7 tahun? Dan mulai 2027 pula , kita tidak lagi mendengar isu penempatan guru yang berkhidmat lebih 5 tahun? Dan pada tahun 2029, turunkan lagi kepada guru-guru yang berkhidmat lebih 3 tahun? Sasaran kerja sebegini akan benar-benar menjadikan tag line ‘guru bahagia’ satu pencapaian yang membanggakan KPM.

Malah sudah sampai masanya dibangunkan sistem AI atau aplikasi penempatan guru yang boleh dijana terus untuk mengenalpasti siapakah guru yang layak ditawarkan secara automatik selepas permohonan mereka dibuat. Tak perlu secara manual seperti sekarang lagi.

Kita boleh lakukan.

Sementara itu dibahagian komen hantaran tersebut turut dipenuhi dengan luahan guru-guru yang menjadi mangsa ‘guru dukalara’.