Pakar penganalisa politik puji menteri Umno berani langgar Zahid

Pakar penganalisa politik puji menteri Umno berani langgar Zahid

Menteri-menteri Umno berhak mendapat pujian kerana terus kekal dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) walau ditekan pimpinan parti untuk meletak jawatan.

Sekurang-kurangnya tiga menteri Umno diberi peranan besar dalam kerajaan ketika ini dengan mengetuai beberapa portfolio penting bagi memerangi pandemik Covid-19.

Selain Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin adalah antara menteri Umno yang dilantik kerajaan bagi mengemudi usaha negara mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi kebangsaan.

Susulan gesaan dari pimpinan tertinggi Umno supaya parti itu meninggalkan pentadbiran kerajaan ketika ini turut menyebabkan mereka menghadapi tekanan untuk meletak jawatan.

Kerana, sekiranya mereka tidak meletak jawatan, mereka dituduh atau dianggap membelakangi keputusan dan kemahuan pemimpin parti.

Bagaimanapun, dalam pertemuan terbaru mereka dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Para menteri Umno akhirnya mengambil keputusan untuk kekal meneruskan tugas kementerian walaupun pelbagai tohmahan dan retorik ditujukan terhadap perdana menteri dalam perhimpunan agung parti itu hujung minggu lalu.

Ahli sains politik, Chandra Muzaffar berkata keputusan yang diambil menteri-menteri Umno untuk kekal dalam Kabinet adalah betul mengikut Perlembagaan.

“Dalam sistem demokrasi kita, menteri adalah lantikan prerogatif perdana menteri. Jika dia mahu kekalkan seseorang, dia ada kuasa untuk kekalkan. Anda tak perlu ikut pemimpin parti, kerana ia adalah lantikan perdana menteri,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Realitinya, parti tak ada kuasa, yang ada kuasa perdana menteri,” katanya di samping turut menambah sikap menteri yang kekal memegang jawatan kritikal ketika ini sangat penting dalam keadaan krisis ekonomi meruncing negara.

Pemerhati politik Melayu, Kamarul Zaman Yusoff pula berkata peletakan jawatan bagi disesuaikan dengan suara-suara lantang di dalam PAU akan mengganggu tumpuan kerajaan untuk memerangi Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Kamarul turut menambah, Muhyiddin tidak bermain politik ketika menggesa menteri-menteri Umno kekal dalam pentadbirannya.

“Sekiranya pertimbangan politik yang menjadi perkiraan perdana menteri, maka sudah tentu beliau akan meminta menteri Umno meletakkan jawatan dan melantik ahli Parlimen dari Bersatu atau dari parti-parti komponen PN yang lain sebagai pengganti,” katanya.

Shamsul Amri Baharuddin dari UKM menyifatkan tindakan menteri dan timbalan menteri Umno yang menolak keinginan pemimpin Umno sebagai satu keputusan yang waras dan bijak.

“Kepentingan peribadi pemimpin Umno yang tercemar ditolak oleh menteri tersebut. Mesti dibezakan keputusan Umno untuk bercerai dengan Bersatu semasa PRU15 dengan kononnya keputusan Majlis Tertinggi Umno yang lemah dan diisi oleh kepentingan-kepentingan peribadi pemimpin yang tercemar.

“Menteri Umno ternyata memihak kepada kepentingan rakyat dan negara yang sedang menghadapi cabaran pandemik yang lebih hebat dari tsunami,”katanya kepada MalaysiaNow.

Shamsul Amri berkata, keputusan untuk kekal dalam kerajaan itu juga menunjukkan wujud “pemberontakan senyap” terhadap pimpinan parti.

“Pujian tak mereka perlukan malah mereka tak ingin dipuji. Apa yang mereka perlukan adalah sokongan dari semua lapisan rakyat yang melihat dan merasakan sumbangan mereka.

“Mereka menghayati semangat Umno sebenar dan hormat pada mandat yang diberikan kepada mereka dalam PRU14 dan inilah yang digelar ‘pemberontakan senyap’ terhadap pimpinan Umno dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).”

Bagi Sivamurugan Pandian dari USM, tindakan menteri Umno itu tidak boleh dikatakan sebagai membelakangkan parti sendiri malah MKT juga tidak memutuskan bila mereka perlu buat keputusan walaupun beberapa pemimpin melontar pandangan mereka.

“Keutamaan adalah untuk membantu kerajaan selesaikan isu rakyat dan ini tidak bermakna pendirian parti dibelakangkan.

“Akar umbi akan memuji tindakan ini untuk tidak campur aduk urusan kerajaan dan parti,” katanya kepada MalaysiaNow. – MN