Pakar perlembagaan saran Muhyiddin segera tentukan keabsahan majoriti miliknya

Pakar perlembagaan saran Muhyiddin segera tentukan keabsahan majoriti miliknya

Undang-undang mengharuskan Muhyiddin Yassin untuk menguji keabsahan sebagai Perdana Menteri sebaik saja timbul keraguan terhadap kedudukannya, kata pengamal undang-undang Bastion Pius Vendargon.

Bercakap kepada FMT, Vendargon memetik Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa undi harus dibuat sekiranya timbul apa-apa keraguan terhadap sokongan majoriti perdana menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata Muhyiddin boleh “memuaskan hati negara dan seluruh dunia mengenai keabsahannya” hanya jika undi itu membuktikan dia mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

“Apabila timbul keraguan, bagaimana seorang perdana menteri dan Kabinet masih boleh lagi membelanjakan wang rakyat dan membuat keputusan terhadap dasar awam?,” katanya.

Vendargon berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh memberitahu perdana menteri untuk memanggil sidang Parlimen segera dan tidak perlu menunggu sehingga Sept seperti diumumkan Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mendakwa seramai 31 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) masih menyokong kerajaan dan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Penganalisis memberitahu FMT, kerajaan kini hanya mempunyai sokongan 104 Ahli Parlimen manakala 11 lagi Ahli Parlimen BN tidak menyokongnya dan 105 pula adalah Ahli Parlimen daripada parti pembangkang.

Peguam Rafique Rashid berkata Yang di-Pertuan Agong yang diiktiraf perlembagaan sebagai Ketua Parlimen, boleh memanggil sidang dengan segera mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3).

“Sekarang ini, perlembagaan telah dibelakangi dan Muhyiddin tidak mempunyai sokongan mencukupi. Agong boleh mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan terbaru ini,” katanya.

Katanya, keabsahan perdana menteri harus ditentukan segera memandangkan negara masih berada dalam krisis kesihatan dan ekonomi.

Sumber – FMT