Pakar perundangan anggap Idris merapu, bukti demokrasi Malaysia terus subur dengan undi percaya
Pakar perundangan menyifatkan langkah mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi undi percaya di Dewan Rakyat adalah amalan baik bagi menunjukkan kerajaan sedia ada memiliki majoriti.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata walaupun pelantikan Ismail Sabri sudah disahkan mengikut Perlembagaan Persekutuan namun adalah lebih baik sekiranya ia diabsahkan di Parlimen bagi membuktikan kedudukan majoriti dimiliki PM.
“Walaupun tidak dinyatakan dalam Perlembagaan, tujuan Yang di-Pertuan Agong supaya diadakan usul undi percaya adalah untuk memastikan kerajaan benar-benar mendapat sokongan.
“Ini amalan baik dan pernah berlaku ketika Allahyarham Tun Hussein Onn selepas pelantikannya sebagai perdana menteri, mengemukakan usul undi percaya walaupun mendapat sokongan dua pertiga.
“Jika perkara ini diikuti oleh perdana menteri seterusnya, ia akan menjadi amalan dan sebahagian daripada konvensyen Perlembagaan,” katanya dipetik dalam laporan sebuah portal.
Undi percaya pernah dijalankan semasa PM ketiga Hussein yang menggantikan Tun Abdul Razak pada 1976 dan dilakukan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003.
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata, pelantikan Ismail Sabri diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, selaras proses pemilihan yang dijalankan dengan teliti dan telus untuk melantik PM kesembilan, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian Idrus itu menimbulkan rasa tidak puas hati blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang sudah kecewa mengangkat ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM kesembilan dan mendesak undi percaya dijalankan pada sidang Dewan Rakyat 13 September ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH beranggapan kenyataan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.
Sumber –