‘Pakat gi cocok deh’, rayuan Khairy untuk rakyat Kelantan yang belum dapatkan suntikan ‘booster’
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini menggunakan dialek Kelantan untuk menggesa penduduk negeri itu mengambil dos ketiga vaksin berikutan liputan dos penggalak paling rendah.
Dalam ciapan Twitternya Khairy berkata beliau bimbang dengan kadar rendah liputan dos penggalak di negeri itu selain kadar penggunaan kemudahan ICU yang tinggi di Kelantan.
“Loloni Kelate paling rendah skali ambik booster, ambo rusing, ICU sana koho penuh. Ambo mitok sangat puok kita di Kelate pakat cocok vaksin & booster.
“Pakat gi cocok deh,” ciap beliau.
(Ketika ini, Kelantan paling rendah sekali ambil dos penggalak, saya runsing, ICU di sana makin penuh. Saya minta sangat rakyat Kelantan ramai-ramai ambil vaksin dan dos penggalak. Minta ramai-ramai pergi ambil suntikan vaksin.)
Dalam carta liputan dos penggalak setakat 27 Februari yang dikongsi dalam ciapan yang sama, Lembah Klang mencatat liputan paling tinggi 87.8% dewasa telah menerima dos penggalak.
Ia disusuli Sarawak (78.8%), Melaka (74.2%), Negeri Sembilan (74.0%), Pulau Pinang (71.5%), Johor (70.5%), Labuan (65.8%), Perak (56%) Pahang (47.5%), Kedah (43.4%) dan Terengganu (39.5%).
Tiga negeri yang berada di kedudukan paling rendah pula adalah Perlis (36.1%), Sabah (24.8%), dan Kelantan yang mencatatkan liputan terendah sebanyak 22.7%.
Pada 24 Februari, Khairy mengumumkan lanjutan tempoh selama sebulan kepada penerima vaksin Sinovac dan warga emas berusia 60 tahun untuk mengambi dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka.
“Bermula 1 April, status vaksinasi lengkap untuk golongan tersebut akan tukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak,” katanya seperti dilaporkan portal MalaysiaNow.
Lanjutan tersebut diberikan selepas tarikh akhir asal bagi mendapatkannya berakhir pada 28 Februari lalu.