Pakej nikah di Thailand serendah RM2,000, permohonan meningkat dua kali ganda!

Pakej nikah di Thailand serendah RM2,000, permohonan meningkat dua kali ganda!

 

Susulan pembukaan semula sempadan negara selepas ditutup selama hampir dua tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permohonan pasangan Malaysia untuk bernikah di Thailand tahun lalu dikhabarkan meningkat sehingga dua kali ganda!

Wartawan Normawati Adnan dari Sinar Harian melaporkan, sebelum ini seorang ejen nikah sempadan dikatakan hanya menerima kira-kira 15 hingga 20 pasangan sahaja sebulan untuk menggunakan perkhidmatan mereka, namun jumlah itu kini melonjak kepada 30 ke 40 pasangan.

“Disebabkan dua tahun sempadan tidak dibuka, jadi banyak urusan pasangan yang mahu melangsungkan pernikahan di selatan Thailand tertangguh.

“Ini antara faktor peningkatan berlaku secara mendadak. Begitupun kita terpaksa mengehadkan pasangan untuk dibawa bagi memudahkan proses urusan agar berjalan lancar,” jelas seorang ejen nikah sempadan yang hanya mahu dikenali dengan Kamal, 50.

Menurut Kamal lagi, di Songkhla sahaja, tidak kurang 20 pasangan dari Malaysia bernikah setiap hari dan jumlah itu akan bertambah apabila tibanya musim cuti sekolah.

Beliau yang berpengalaman lebih 12 tahun dalam perkhidmatan itu turut memberitahu kebanyakan pasangan dari Malaysia sanggup mengambil risiko bernikah di sempadan kerana proses pendaftarannya lebih mudah terutama sekali bagi urusan berpoligami.

“Setakat ini, Songkhla, Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Bangkok antara lokasi yang diiktiraf dan diterima oleh kedua-dua negara bagi urusan pernikahan sempadan.

“Paling kerap adalah di Songkhla kerana kedudukannya dekat dengan konsulat dan memudahkan pasangan mendapatkan pengesahan pernikahan,” tambah Kamal lagi.

Ditanya mengenai pakej bayaran, Kamal menjelaskan bayaran dikenakan adalah di antara RM2,000 ke RM5,000 untuk kumpulan biasa serta serendah RM10,000 bagi golongan kenamaan.

Bayaran tersebut menurutnya digunakan untuk urusan keluar masuk sempadan, urusan nikah, bayaran imam dan jurunikah bertauliah serta segala dokumen nikah yang berkaitan.