Panas!!! Agus selar Hadi gagal fahami makna integriti
1. Kata Presiden PAS, tiada guna kerajaan majoriti besar jika tiada integriti. Ini kerana negara boleh lemah dan musnah apabila dipimpin oleh pemimpin yang tidak berintegriti. Contoh yang diberi ialah pemimpin berbohong dan kleptokrat.
2. Kenyataan ini betul dan perlu dipersetujui. Namun, kenyataan tersebut tidak lengkap jika tafsirannya digunakan hanya mengikut kefahaman dan kepentingan PAS semata. Seorang bekas menteri menegur hal ini dan beliau dinasihatkan supaya merujuk Kamus Dewan.
3. Saya merujuk Kamus tersebut tetapi definisinya ringkas sahaja. Supaya lebih jelas, maksud integriti adalah amalan bersikap jujur, murni, tidak rasuah, mempunyai nilai moral dan etika yang tinggi, boleh dipercayai, bertanggungjawab, memenuhi janji, dan menepati apa yang diucapkan.
4. Apakah PAS memenuhi maksud integriti di atas? Dalam beberapa aspek, jawapannya ya, tetapi dari tindakan politik, banyak lagi ciri-ciri asas integriti yang tidak PAS laksanakan. Misalnya:
i. Menggunakan fahaman perkauman dan manipulasi agama yang menimbulkan keresahan masyarakat.
ii. Berperilaku tidak seperti yang diungkapkan.
iii. Ucapan yang tidak konsisten dengan perbuatan.
iv. Tidak menyelesaikan masalah rakyat. Di Kelantan misalnya, janji manifesto dalam PRU-14 banyak lagi yang belum tertunai seperti masalah air, kebersihan, pekerjaan, pembalakan, dan kemiskinan rakyat.
5. Jadi, jika ada (banyak) lagi aspek nilai integriti yang tidak dilaksanakan, apakah PAS boleh mendakwa ia mempunyai integriti? Apakah yang PAS faham dengan integriti?
i. Apakah duduk semeja makan sambil bersembang itu politik integriti?
ii. Apakah bekerjasama sesama parti Melayu itu politik integriti?
iii. Apakah berada dalam satu pakatan dengan MIC dan MCA seperti sekarang ini politik integriti?
iv. Apakah menangguhkan perjuangan RUU355 itu politik integriti?
v. Apakah menolak DAP itu politik integriti?
6. Bagi saya fahaman Presiden PAS tentang integriti kabur dan sempit. Selain bersetuju kita mesti menolak pemimpin berbohong dan kleptokrat, hujah lain Presiden PAS tentang integriti lemah dan memerlukan penelitian semula.
7. Sebagai negara multi etnik, bagus sekiranya kita memahami integriti sebagai perjuangan menegakkan keadilan, menghapuskan kemiskinan, mengiktiraf kebebasan rakyat, dan meraikan kepelbagaian. Paling baik sekali ialah kita memahami integriti itu sebagai “embarking on a nation building effort.”
8. Setelah merenung panjang, satu sahaja coretan akhir saya: PAS perlu meningkatkan lagi nilai integritinya.
Mohammad Agus Yusoff