Panas! Ahli parlimen Pas dakwa diugut ahli parlimen Bersatu

Panas! Ahli parlimen Pas dakwa diugut ahli parlimen Bersatu

 

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) hari ini mendakwa menerima ugutan daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) dan keluarganya.

Bangun sejurus selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Awang mendakwa diugut menerusi panggilan telefon pada Selasa lalu, hari yang sama Syed Abu Hussin mengumumkan secara terbuka sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat.

“Saya diugut dua malam lepas menerusi panggilan telefon oleh Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz),” katanya.

Beliau cuba memberi penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berhubung ugutan berkenaan dan menjelaskan ahli Parlimen wajar diberi perlindungan jika berdepan insiden sedemikian.

Bagaimanapun, Johari meminta Awang mengemukakan usul berhubung perkara terbabit.

“Saya minta buat usul, itu keputusannya. Tidak bolehlah buat macam ini, utarakan tanpa (ada) usul,” katanya.

Awang yang dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mempertahankan tindakannya dan mendakwa Johari bersifat emosi.

“Saya hanya nakkan perlindungan. Hulu Langat (PH-Mohd Sany Hamzan) buat apa pun tak mengapa. Tak bolehlah macam tu. Saya tengok Tan Sri Speaker emosi dengan saya,” katanya.

Johari yang enggan isu itu diperpanjangkan, menjelaskan kedudukannya membataskan beliau melayan semua permintaan ahli Parlimen.

“Kita ini berkawan, tetapi bila saya duduk di kerusi ini, saya hilang kawan. Kena ingat, rakyat hantar kita, mereka mahukan produktiviti. Bagaimana untuk saya layan semua (permintaan). Jadi saya minta, masukkan usul (berhubung dakwaan diugut),” katanya.

Selasa lalu, Awang pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan (No 2) 2023 mendakwa Syed Abu Hussin Hafiz mengambil keputusan menyokong Kerajaan Perpaduan kerana ada agenda tersembunyi.

Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz ketika dihubungi BH bagi mendapatkan ulasan, enggan mengulas isu berkenaan di luar Dewan Rakyat.

“Saya tidak mahu ulas di luar Dewan,” katanya ringkas.