Panas!!! Akhirnya Ketua UMNO Jasin sahkan ada cubaan ‘sailang’ Sulaiman jadi Ketua Menteri
Sebelum ini beberapa portal telah memainkan isu pergeseran antara Ab Rauf dan Sulaiman dalam isu siapa sepatutnya dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru selepas BN kembali mendapatkan mandat rakyat dalam PRN semalam.
Walaupun sekadar bermula sebagai khabar angin, namun isu yang dibangkitkan mengenai ketiadaan kelibat Ab Rauf dalam upacara mengangkat sumpah ADUN Lendu, Sulaiman Ali lewat tengah malam tadi seolah-olah ada sesuatu yang berlaku antara kedua-dua mereka ada asasnya.
Maka akhirnya persoalan itu terjawab selepas tersiarnya satu kenyataan dari Ketua Bahagian UMNO Jasin, Datuk Hasan Rahman yang dianggap menceritakan isu sebenar yang berlaku dalam UMNO Melaka selepas kemenangan bersejaeah itu siang tadi seperti dilaporkan akhbar milik UMNO, Utusan Online.
Datuk Hasan Rahman dalam kenyataannya mengesahkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 lewat malam tadi telah menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
Sehubungan itu, beliau berkata, bahagiannya tetap berdiri teguh dengan keputusan pucuk pimpinan parti melantik Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri selepas Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Memang ada gelora yang berlaku kerana ada pihak nak menjadi Ketua Menteri seperti yang dikhabarkan dan ini perkara biasa dalam politik.
“Ini perkara biasa kerana ahli yang berhormat apabila menang pilihan raya semua mereka mempunyai cita-cita tersendiri untuk menjadi Ketua Menteri.
“Apa yang membanggakan saya, janji parti untuk melantik Sulaiman sebagai Ketua Menteri telah ditunaikan. UMNO Bahagian Jasin tetap berdiri teguh dan akan mempertahankan keputusan yang dibuat ke atas Sulaiman,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Gelora tersebut difahamkan ada kaitan dengan Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13 yang berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam kira-kira pukul 12.58 tengah malam tadi dan dilangsungkan secara tertutup.
Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sulaiman, 55, sebelum ini telah dinamakan sebagai calon Ketua Menteri jika BN menang pada PRN Melaka.
Ini adalah kali kedua beliau dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pertama kali dilantik ke jawatan itu pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, beliau yakin masalah tersebut akan dapat diselesaikan segera melalui rundingan agar pentadbiran negeri tidak terganggu.
Sebagai ahli parti, katanya, semua pihak harus akur dengan keputusan yang dibuat dan menyokong Sulaiman yang telah dipilih sebagai Ketua Menteri.
“Kepada yang tak dapat jadi Ketua Menteri saya percaya ada tempat-tempat lain boleh ditempatkan seperti exco kerajaan negeri, speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), ada Senator dan dikhabarkan ada jawatan ADUN dilantik,” ujarnya