Panas!!! Aktivis pro kerajaan berang sikap Mujahid sibukkan hal arak

Panas!!! Aktivis pro kerajaan berang sikap Mujahid sibukkan hal arak

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa sepatutnya memberi tumpuan kepada isu lebih besar yang memberi kesan terhadap masyarakat, bukannya “dasar arak”, kata seorang aktivis sosial.

Chandra Muzaffar berkata, isu itu termasuklah masalah dadah yang telah wujud sejak berdekad-dekad, rasuah yang berleluasa, jurang kekayaan yang semakin melebar dan polarisasi kaum dan agama yang semakin meningkat, lapor portal FMT.

Beliau juga berkata, sebarang dasar yang dicadangkan untuk menyekat penglibatan orang Islam dalam pembuatan, pengangkutan, penjualan atau penyajian arak perlu mengambil kira pandangan pekerja terbabit.

“Ini adalah mata pencarian mereka dan mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memutuskan sama ada patut berada dalam perniagaan itu atau tidak,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Rosli Affandi, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia, mengenai cadangan Mujahid.

Rosli berkata, majoriti individu dalam industri makanan adalah orang Melayu dan pengenalan “dasar arak” baharu akan menjejaskan mata pencarian mereka.

Chandra berkata, kepimpinan Amanah dan pemimpin Islam lain harus lebih prihatin terhadap situasi dadah di negara ini.

“Majoriti pengguna dadah di negara ini adalah (dalam kalangan) orang Melayu Islam. Tidak kira siapa mangsanya, masalah dadah adalah cabaran utama negara,” katanya.

Menurut statistik kerajaan, kira-kira 79.8% pengguna dadah pada 2019 datangnya daripada komuniti berkenaan.

“Kita juga harus prihatin tentang berleluasanya rasuah. Parti politik khususnya, harus meneliti perkara ini dan mencari jalan penyelesaian bagi masalah itu,” katanya.

Chandra juga bercakap mengenai jurang kekayaan yang semakin meningkat dalam semua komuniti. Ini bukan isu yang terhad kepada jurang perbezaan antara kaum, katanya.

“Kita perlu fokus untuk merapatkan jurang kekayaan dalam setiap komuniti. Orang ramai lupa bahawa jurang perbezaan semakin melebar,” katanya.

Mengenai polarisasi yang semakin meningkat Chandra berkata, perpaduan penting bagi Malaysia dan kelangsungan serta kejayaan negara bergantung kepada kesepaduan komuniti yang berbeza.

“Inilah perkara yang harus kita fokuskan, bukannya dasar arak,” katanya.